KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI]"Rahmat bahagia, Tuhan kurniakan, Raja kita, selamat bertakhta”.
Usai rangkap terakhir lagu keramat Negaraku berkumandang di Istana Negara, ia sekali gus menandakan sempurna sudah Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat Raja-Raja Melayu, istiadat pertabalan itu memasyhurkan bahawa Sultan Ibrahim telah bersemayam di takhta sebagai Ketua Tertinggi Negara yang menggalas tanggungjawab menjadi payung mahkota menaungi rakyat Malaysia untuk tempoh lima tahun.
Detik bersejarah ini turut menonjolkan keunikan warisan institusi beraja di Malaysia sebagai satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan secara penggiliran.
Balairung Seri yang ditatarias indah dan cukup gah, menjadi saksi keberangkatan tiba Sultan Ibrahim yang lengkap berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai 'Muskat' beserta tengkolok Diraja manakala Raja Zarith Sofiah anggun dalam persalinan kurung Johor berwarna keemasan dengan Gendik (Tiara) Diraja dan Kalung Diraja.
Melangkah masuk ke Balairung Seri untuk bersemayam di singgahsana yang dipahat dengan 99 nama Allah, pasangan diraja itu bukan sahaja menjadi sorotan lensa dan tumpuan 700 tetamu jemputan yang berada di situ, bahkan jutaan rakyat Malaysia dan antarabangsa turut teruja menonton istiadat yang disiarkan secara langsung itu.
Mengimbau sejarah, istiadat pertabalan turun-temurun ini pastinya menjadi momen penuh bermakna buat Sultan Ibrahim secara peribadi apabila melalui proses sama seperti ayahanda baginda Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail yang ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan bagi tempoh dari 1984 hingga 1989.
Istiadat pertabalan itu juga menyaksikan Sultan Ibrahim menggunakan peralatan kebesaran istiadat seperti Pending Diraja yang sama digunakan Almarhum Sultan Iskandar ketika ditabal sebagai Ketua Utama Negara.
Menjadi pendahulu kepada istiadat penuh gilang-gemilang ini, upacara tradisi ketenteraan dengan Yang di-Pertuan Agong diberi Hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama dibarisi empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).
Ia kemudian diiringi alunan tiupan nafiri oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan paluan nobat daripada Kumpulan Nobat Diraja Perak yang memainkan lagu 'Raja Berangkat' yang bergema, mengiringi keberangkatan masuk pasangan diraja ke Balairung Seri.
Ibarat peribahasa tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Zaman berubah, namun adat istiadat pertabalan tonggak negara yang diputerakan pada 22 Nov 1958 ini kekal dirai penuh adat, tertib dan kesantunan, baik dari segi perjalanan istiadat mahupun alat-alat kebesaran yang digunakan.
Antara yang menjadi tumpuan utama pada istiadat pertabalan ini ialah lafaz Ikrar oleh Sultan Ibrahim yang bertitah akan melaksanakan tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan adil serta penuh timbang rasa untuk rakyat dan negara.
Selesai sahaja Sultan Ibrahim melafazkan ikrar, Balairung Seri bergema dengan alunan lagu Nobat Tabal yang dimainkan oleh kumpulan Nobat Diraja Perak diikuti laungan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali dan lagu Negaraku, serentak dengan tembakan meriam 21 das.
Dalam titah ucapan, Seri Paduka Baginda menzahir harapan agar kerajaan terus berusaha meringankan beban hidup rakyat serta membangunkan negara dengan lebih maju dan makmur.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia menyifatkan pertabalan Yang di-Pertuan Agong mencatat lembaran sejarah dan mengangkat martabat negara.
Beliau antara lain berkata, institusi Yang di-Pertuan Agong adalah mahkota negara dan rakyat, yang mampu mengikat semangat kesatuan dan perpaduan.
"Kerajaan, (dan) rakyat berikrar sentiasa menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Kerajaan terus konsisten menekankan nilai-nilai murni, pemantapan akhlak dan pengukuhan jati diri bangsa.
"Di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim, kerajaan dan rakyat akan mengharungi liku gelora ekonomi dunia melalui prakarsa baharu yang mampan," katanya.
Selain Raja-Raja Melayu dan Permaisuri, dua tetamu diraja iaitu Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, serta Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa turut berangkat ke istiadat pertabalan pada Sabtu.
Majlis pertabalan turut dihadiri Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, dua Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet, selain tetamu-tetamu kehormat yang terdiri daripada ketua-ketua Diplomat Asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Sultan Ibrahim yang diputerakan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche' Besar Khalsom Abdullah.
Pemilihan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 oleh Raja-Raja Melayu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada 27 Okt 2023.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari.
Pelantikan Seri Paduka Baginda adalah bagi menggantikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari.
Sejak pagi lagi orang ramai berada di pintu utama Istana Negara, untuk menyaksikan sendiri sepintas lalu keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong dan Raja-Raja Melayu ke majlis penuh adat istiadat hari ini.
Selain siaran langsung di kaca televisyen, istiadat pertabalan ini turut disaksikan rakyat menerusi 'wayang pacak' yang disediakan Jabatan Penerangan dengan kerjasama Komuniti Madani di 222 kawasan Parlimen di seluruh negara. - Bernama