Tanggungjawab semua pihak tegur pelancong berbikini - MB

Iklan
Gambar tular menunjukkan dua individu dipercayai pelancong asing sedang berjemur dan bersantai di Pantai Pulau Kekabu, Marang baru-baru ini. Gambar kecil: Ahmad Samsuri

MARANG - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru semua pihak supaya memainkan peranan masing-masing bagi memastikan pelancong asing yang berkunjung ke negeri itu dapat mematuhi garis panduan ditetapkan dalam berpakaian.

Menurutnya, tugas untuk memastikan golongan itu mematuhi etika dengan tidak berpakaian separuh bogel (berbikini) di tempat awam perlu dilaksanakan agar kawasan-kawasan khususnya yang menjadi destinasi tarikan pelancong terjaga.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya semua pihak memainkan peranan, bukan hanya di pihak penguat kuasa kerajaan sahaja. Saya rasa ia termasuk pengusaha resort, operator bot (pelancong), orang awam dan sebagainya.

"Penduduk juga boleh menegur dengan cara baik sekiranya mereka terlihat sebarang pelanggaran atau apa jua cara yang tidak kena dalam masyarakat," katanya di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gambar tular memaparkan pelancong asing berpakaian separuh bogel sedang berjemur di kawasan pantai di Terengganu.

Perbuatan yang sempat dirakam oleh orang ramai itu dikatakan berlaku di Pantai Pulau Kekabu, di sini.

Iklan

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menekankan mengenai teguran secara berhikmah yang perlu diambil oleh setiap golongan masyarakat.

Katanya, kaedah tersebut sesuai digunakan kepada pelancong-pelancong yang kurang faham khususnya yang pertama kali datang ke Terengganu atau negeri-negeri yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.

"Setiap peraturan memerlukan tatacara yang perlu diikuti. Dalam agama kita ada hadis Nabi SAW menyebut mengenai tegur-menegur dan pencegahan terhadap kemungkaran yang bakal berlaku.

"Ada pelbagai cara (teguran) sama ada menggunakan kuasa, perbuatan, lisan atau ada yang setakat dalam hati. Jadi itu (teguran) tidak hanya termaktub kepada kerajaan, ia adalah tugas kita semua.

"Insya-ALLAH kalau kita tunjuk ajar dengan baik atau dengan penuh hikmah, mereka akan lihat apa alasan dan mereka sedar kesalahan dilakukan itu," katanya.

Baru-baru ini, tular sekeping gambar menunjukkan dua pelancong asing yang dikatakan berjemur dengan hanya memakai bikini dan seluar dalam.

Keadaan itu didakwa berlaku sehari selepas kawasan tersebut dilanda bencana ribut menyebabkan seramai sembilan peniaga terjejas, manakala 90 rumah mengalami kerosakan akibat bencana tersebut.