KUALA LUMPUR - Bersempena dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, barisan Jemaah Menteri mengambil kesempatan merafak sembah tahniah menzahirkan penghormatan dan sokongan penuh mereka terhadap Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Antaranya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dalam hantaran di laman Facebook beliau.
"Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada 20 Julai 2024 Bersamaan 14 Muharam 1446H.
"Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberkati pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” tulis beliau.
Turut merafak sembah tahniah ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut mendoakan agar Seri Paduka Baginda berdua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan serta memacu Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan maju.
"Semoga Duli Tuanku kekal qarar bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan, dan kesejahteraan jua serta memerintah dengan adil dan saksama.
"Patik mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda sentiasa dilimpahi keberkatan,” katanya.
Beberapa menteri Kabinet turut membuat hantaran di laman media sosial masing-masing antaranya Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Turut merafak sembah tahniah ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Dalam ucapan merafak sembah tahniahnya, Fahmi yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong Ke-17 mendoakan supaya Allah SWT memberkati pemerintahan Sultan Ibrahim selain turut berkongsi pantun empat kerat.
"Asah kapak tajam beliung,
Tebang mari kayu berduri,
Tuanku umpama kemuncak payung,
Patik di bawah berteduh diri," kata Fahmi.
Azalina juga tidak ketinggalan berkongsi pantun empat kerat yang berbunyi:
"Datuk Laksamana Menjaga Kota,
Kayu belian kubunya kukuh,
Tuanku umpama payung mahkota,
Patik sekalian tumpang berteduh".
Mohamad pula mendoakan agar Seri Paduka Baginda menjadi pelindung kepada agama Islam yang suci dan lambang perpaduan antara semua kaum di Malaysia.
"Sembah takzim daripada patik dan seluruh warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Taat setia kami tidak akan berbelah bahagi kepada institusi Raja Berperlembagaan," katanya.
Sementara itu, Dr Zaliha mendoakan supaya Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah serta kaum kerabat Seri Paduka Baginda sentiasa dilimpah rahmat dan hidayah serta dirahmati dengan kesihatan dan kebijaksanaan dalam memimpin negara ke arah kemajuan, keharmonian dan kesejahteraan.
"Institusi Diraja merupakan simbol perpaduan dan kestabilan negara. Tuanku ialah payung negara yang sentiasa melindungi dan memayungi rakyat jelata.
"Patik dan seluruh rakyat jelata berikrar akan terus berkhidmat dengan setia dan amanah di bawah naungan Duli Tuanku, demi mencapai sebuah aspirasi Malaysia MADANI," kata Dr Zaliha.
Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara hari ini, dan dihadiri ratusan tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Jemaah Menteri, komuniti diplomatik asing di negara ini dan pemimpin utama negara.
Turut berangkat hadir Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa. - Bernama