TUARAN - Bukan hanya di Semenanjung, kehadiran 'raja buah' begitu rancak dijual di beberapa tempat di bumi Borneo sebaik saja musimnya bermula.
Beberapa daerah di Sabah seperti Sipitang, Beaufort dan Tuaran kini mula menjadi tumpuan penggemar durian yang musimnya hanya akan bermula sekitar Julai sehingga September setiap tahun.
Penulis sendiri sempat singgah ke Pekan Tenghilan di Tuaran apabila beberapa gerai dilihat mulai menjadi tempat persinggahan orang ramai mendapatkan raja buah itu.
Penjual durian, Grace Yam, 57, dia sudah lebih 20 tahun menjual durian di pekan tersebut sebaik saja musim buah itu bermula.
Katanya, durian yang dijual hanya dari kawasan sekitar Tenghilan sahaja kerana mahu menjaga kualiti buah.
"Saya ada jual pelbagai jenis durian yang diambil khas dari penduduk sekitar Tenghilan, contohnya durian jenis IOI (Mas Johor), D24, Tekka, 144, durian Sarawak dan durian Malaya.
"Saya juga ada jual durian Sabah yang dikenali sebagai sukang dan dalit. Tetapi kebanyakan penggemar durian lebih suka musang king, duri hitam manakala pelancong pula lebih gemar durian IOI kerana isinya yang manis.
"Saya tidak jual durian dari luar kawasan Tenghilan kerana saya tahu kualitinya iaitu ranum secara semula jadi dan jatuh apabila tiba masanya. Jadi kalau dimakan, buah itu cukup masak dan matang," katanya ketika ditemui di gerainya yang terletak di Jalan Tenghilan-Kota Belud.
Grace berkata, gerai yang dibukanya sejak dua minggu lalu berjaya meraih keuntungan sehingga RM10,000 hasil jualan daripada pelbagai jenis durian atau buah-buahan lain.
"Setakat ini, paling murah ialah durian 'reject' tetapi masih boleh dimakan dan boleh didapati serendah RM5 untuk satu kilogram manakala paling mahal durian jenis Black Thorn iaitu RM70 untuk satu kilogram.
"Gerai akan dibuka bermula jam 10 pagi kerana menunggu pekebun hantar durian masing-masing ke gerai dan kami akan tutup sekitar jam 7 malam.
"Laluan ini pula menjadi tumpuan penduduk sekitar Kota Kinabalu dan Kota Belud jadi rata-rata pelanggan sudah mengenali saya," katanya.
Katanya lagi, musim durian dijangka akan berterusan sehingga Ogos dan September sebagai kemuncak musim manakala sekitar Oktober ia akan mulai berkurangan.
"Jadi bagi mereka yang ingin merasai keunikan rasa manis durian dari Sabah terutama di Tenghilan, masih boleh datang sepanjang bulan tersebut," katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan Khairil Lalip, 27, yang berasal dari Kota Belud sempat singgah ke gerai Grace untuk mendapatkan durian jenis Sukang.
"Durian ini sukar didapati dan kebetulan ketika dalam perjalanan pulang saya terlihat ia dijual murah.
"Di gerai ini saya dapat harganya sekitar RM20 untuk satu ikat, jadi bolehlah dibuat buah tangan untuk keluarga di rumah," katanya.