Guna tanah terbiar milik penduduk tanam sayur

Iklan
Iskandar Dzulkarnain (dua dari kanan) melihat projek rintis tanaman sayur di Rumah Sayur Bendang Kering di sini pada Sabtu.

KUALA KANGSAR - Inisiatif Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Kangsar memanfaatkan tanah terbiar milik penduduk untuk penanaman sayur-sayuran berjaya dilaksanakan.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berkata, idea tersebut tercetus kerana mahu meringankan beban masyarakat setempat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek rintis yang dilaksanakan di Kampung Bendang Kering di sini sejak awal tahun berjaya membuahkan hasil melalui tuaian pertama iaitu sawi dan pak choy.

"Ini adalah satu inisiatif daripada Parlimen saya di mana tanah-tanah yang terbiar kita akan pastikan diadakan penanaman sayur dan dengan hasilnya kita beri pada orang-orang kampung.

Iklan

"Maklumlah dengan keadaan ekonomi yang semakin rumit ini, banyak orang di kampung-kampung ini susah terutama di kawasan saya ini," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Iskandar Dzulkarnain (kanan) menyerahkan sayur yang telah dituai melalui projek rintis di Rumah Sayur Bendang Kering di sini pada Sabtu.

Terdahulu beliau menyampaikan sekampit beras 5kg dan sayur kepada 300 penerima melibatkan lima kampung sempena Majlis Penyerahan Beras dan Sayur di Rumah Sayur Bendang Kering di sini.

Iklan

Katanya, kesemua sayur yang dituai itu diedarkan secara percuma kepada penduduk berhampiran.

Iskandar Dzulkarnain berkata, bagi projek rintis itu, sebanyak RM40,000 peruntukan disediakan bagi menjayakan projek tanaman itu.

Menurutnya, projek seumpama itu akan diteruskan di kawasan lain di dalam Parlimen Kuala Kangsar jika terdapat tanah terbiar yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan ketua kampung dan penghulu untuk memperluaskan projek berkenaan.