SHAH ALAM - Keputusan menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan didakwa sebagai tindakan balas dendam yang sangat buruk dan bermotif politik.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau berkata, ia juga menunjukkan kemerosotan kebebasan media dan bersuara di negara ini sejak Kerajaan Perpaduan memerintah.
Malah katanya, tindakan sedemikian bukanlah kali pertama dibuat kerana sebelum ini kerajaan didakwa menyekat laman berita yang mengkritik kerajaan.
"Pada awalnya, pemimpin Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk menyelamatkan rakyat dan negara, namun sekarang mereka telah menunjukkan wajah sebenar dan merosakkan sistem demokratik negara.
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendakwa Wan Ahmad Fayhsal memetik kandungan surat tanpa nama yang mungkin boleh memberi kesan negatif kepada individu terlibat, adalah kenyataan tidak masuk akal.
"Wan Ahmad Fayhsal sudah menyatakan bahawa ini adalah surat tanpa nama. Jika kerajaan berpendapat kandungannya palsu, mereka boleh menjelaskannya, mengapa perlu bertindak berlebihan?” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Dominic, beliau turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Wan Ahmad Fayhsal.
"Jika ahli Parlimen tidak dapat bersuara di Dewan Rakyat, apatah lagi rakyat biasa. Konsep ‘Malaysia Baharu’ yang dibawa oleh PH kini sudah berkecai di bawah pimpinan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan pemimpin PH,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia masih mempunyai banyak undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara sehingga mewujudkan ketakutan dalam kalangan rakyat.
Justeru katanya, rakyat perlu terus memberi tekanan kepada kerajaan untuk memperbaiki hak asasi manusia.
"Saya sangat bersetuju dengan pandangan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa ini adalah penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan untuk menindas pembangkang.
"Gambaran Khairy sangat tepat, ahli Parlimen kerajaan adalah 'pengecut' yang sebenar. Tidak berani memulangkan kuasa kepada rakyat, menggantung enam kerusi bekas ahli parlimen PN adalah tindakan pengecut," katanya.
Khairy pada Jumaat memberitahu, Wan Ahmad Fayhsal sepatutnya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan terlebih dahulu bagi membela diri sebelum keputusan menggantungnya daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan dimuktamadkan.
Jelasnya, meskipun isu melibatkan penggantungan di Dewan Rakyat itu bukan satu perkara baharu, namun keputusan terhadap Ahli Parlimen Machang tersebut disifatkan sebagai masalah penafian bagi proses ruang keadilan.