Rakyat saksi detik bersejarah istiadat pertabalan menerusi wayang pacak

Iklan
Seorang pelanggan dilihat merakam momen bersejarah ketika menyaksikan layar pacak yang disediakan oleh Jabatan Penerangan Negeri Sembilan semasa menyaksikan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang berlangsung di Istana Negara ketika tinjauan di Pasir Panjang pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Rakyat di seluruh negara berpeluang menyaksikan detik bersejarah Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara secara langsung menerusi pelbagai medium termasuk 'wayang pacak' yang disediakan di semua 222 kawasan Parlimen.

Wayang pacak yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan di setiap negeri itu membuka ruang kepada rakyat memahami sistem Raja Berperlembagaan, selain sebagai langkah memperluas liputan siaran istiadat pertabalan.

Iklan
Iklan

Program wayang pacak itu turut diisi dengan program lain seperti Kuiz Kenegaraan dan pertandingan mewarna.

Di ibu negara, penduduk dan komuniti MADANI pelbagai kaum tiba seawal 8.30 pagi di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) PPR Lembah Pantai untuk bersama-sama menonton istiadat pertabalan itu menerusi wayang pacak anjuran Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Parlimen Lembah Pantai.

Iklan

Pengarah Jabatan Penerangan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Sabarudin Yeop Hamza berkata, sebanyak 11 NADI di Wilayah Persekutuan mengadakan wayang pacak itu secara serentak di Parlimen masing-masing.

Di MELAKA, lebih 200 pelajar Universiti Geomatika Malaysia Melaka dan Kolej Al Quran Sayyidina Ali (KAQSA), komuniti MADANI Parlimen Hang Tuah Jaya dan Majlis Gabungan Belia Melaka memenuhi ruang tayangan wayang pacak yang dianjurkan Jabatan Penerangan Melaka dengan kerjasama Universiti Geomatika Malaysia, Ayer Keroh.

Iklan

Acara yang diadakan di Dewan Mehas, Universiti Geomatika Malaysia Ayer Keroh dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa selamat itu turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Penerangan Melaka Ab Rasil Hajatil dan Setiausaha Agung Youth Foundation Datuk Noor Sabrina Mohd Noor.

Di PAHANG, sebanyak 14 kawasan Parlimen menganjurkan wayang pacak antaranya di Dewan Orang Ramai Kampung Cherok Paloh, Kuantan yang dimeriahkan dengan Jualan Rahmah anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Cherok Paloh Hamdan Osman berkata program seumpama ini dapat mencipta kenangan dalam kalangan penduduk kampung apabila mereka dapat bersama-sama melihat istiadat bersejarah itu.

Di KELANTAN, para pengunjung yang terdiri daripada komuniti MADANI dan penduduk memeriahkan program wayang pacak yang diadakan di NADI Buluh Kubu, Kota Bharu dan NADI Kampung Baru, Gua Musang seawal 8.30 pagi.

Di SELANGOR, Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim disaksikan oleh rakyat di 22 kawasan Parlimen di negeri itu yang menjadi simbol kesetiaan rakyat kepada raja dan negara.

Selain wayang pacak yang diadakan di Dewan Raflesia Majlis Bandaraya Shah Alam di Taman Bukit Subang, Shah Alam, Program Jiwa Komuniti MADANI anjuran Jabatan Penerangan Selangor itu turut menyediakan sesi Ceramah Raja Berperlembagaan bagi menerapkan kefahaman terhadap institusi diraja dalam negara kepada masyarakat, selain permainan tradisional dan deklamasi puisi.

DI JOHOR, rakyat negeri itu menyaksikan siaran langsung istiadat pertabalan di NADI Taman Cempaka, Johor Bahru yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Johor, manakala di NEGERI SEMBILAN pula program itu diadakan di Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Seremban.

DI PULAU PINANG, Pasar Awam Kepala Batas menjadi lokasi wayang pacak yang dihadiri orang ramai termasuk murid sekolah rendah dan tadika bagi mengikuti siaran langsung istiadat berkenaan, selain acara sampingan pertandingan mewarna.

DI KEDAH, rakyat pelbagai kaum di negeri itu berkumpul di NADI Simpang Kuala, Alor Setar untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Ahli Jawatankuasa Komuniti MADANI Saga Muhamad Khalil Ibrahim, 51, berharap ketegasan Sultan Ibrahim dapat memimpin negara ke arah yang lebih baik khususnya dalam memupuk perpaduan serta melonjakkan kemakmuran dan kemajuan ekonomi negara.

Bagi Timbalan Pengerusi Komuniti MADANI Simpang Kuala, Tee Wei Hwa, 45, dia sangat teruja menyaksikan istiadat pertabalan berkenaan bersama ahli komuniti yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, sekali gus dapat memupuk sikap perpaduan kaum yang berterusan.

Di PERAK, program wayang pacak itu dihadiri lebih 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Bukit Gantang yang diadakan oleh Jabatan Penerangan Negeri Perak dengan kerjasama Komuniti MADANI Titi Serong A bersempena dengan Program JIWA (Sepakat).

Di TERENGGANU, Program Jiwa MADANI Wayang Pacak yang diadakan di Dewan Batu Bersurat di Muzium Negeri, Kuala Terengganu, turut dihadiri masyarakat pelbagai kaum dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Meskipun tidak dapat melihat sejak lahir, Muhammad Zamzuri Arifin, 52, yang juga Timbalan Pengerusi Komuniti MADANI Bukit Besar tetap bersemangat hadir ke program itu kerana merasakan ia satu tanggungjawab sebagai rakyat kepada Ketua Utama Negara.

DI PERLIS, orang ramai menyaksikan istiadat pertabalan melalui wayang pacak yang disediakan di Dewan Orang Ramai Taman Merpati di Kangar hari ini, bersempena dengan Program Jiwa MADANI Khas Malaysiaku Berdaulat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan Gan Ay Ling berkata program seperti itu memberikan keterujaan kepada orang ramai apabila dapat menyaksikan istiadat pertabalan yang hanya diadakan lima tahun sekali serta memberi pendedahan kepada anak muda akan keistimewaan Raja-Raja Melayu.

DI SABAH, ratusan penduduk berhimpun antaranya di Kota Kinabalu, Tuaran dan Putatan untuk menyertai program wayang pacak itu, yang turut diselangi dengan pelbagai acara sampingan antaranya pameran agensi kerajaan dan swasta serta ceramah kesihatan.

Sebanyak 60 ahli jawatankuasa Komuniti MADANI menghadiri program wayang pacak yang diadakan di Kompleks Kementerian Komunikasi di LABUAN.

Pada 11 Julai, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17 berkata wayang pacak itu turut melibatkan siaran langsung menerusi platform media sosial untuk memudahkan seluruh rakyat termasuk yang menetap di luar negara menyaksikan acara bersejarah itu. - Bernama