Zulkafperi berhasrat jadi calon PRU16

Iklan
Zulkafperi (duduk tengah) pada sidang akhbar selepas program Sepetang bersama To' Zul di sini pada Sabtu.

KUALA SELANGOR - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Zulkafperi berkata, pengundi di Parlimen Tanjong Karang sudah mengenali beliau dan yakin mampu berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.

Iklan
Iklan

"Pada PRU14 saya telah bertanding di bawah tiket PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan sahabat kita daripada PKR dan BN (Barisan Nasional) sudah mengenali saya.

"PRU15 pula, saya (bertanding) di bawah Perikatan Nasional dan pada PRU16, Insya-ALLAH saya akan ke depan," katanya ketika berucap pada Sepetang bersama To' Zul di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurut bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang, rakyat di Parlimen itu diharap terus teguh memberikan sokongan kepada beliau bagi meneruskan agenda pembangunan di kawasan terbabit.

"Kita berada dalam barisan pimpinan kerajaan sekarang ini dan saya akan mengadakan kerjasama dengan PKR, Amanah (Parti Amanah Negara) dan UMNO atau pun DAP," ujar beliau.

Iklan

Zulkafperi semasa dalam sidang akhbar memberitahu, selaku penyandang kerusi itu, beliau sememangnya berhasrat untuk menjadi calon kerana mahu bekerja untuk rakyat.

Katanya, dalam tempoh tiga tahun sebelum PRU16 ini, beliau sedaya upaya meneruskan khidmat dan mahu rakyat menilai gerak kerjanya sepanjang menjadi ahli Parlimen yang menyokong kerajaan.

"Ini menjadi penunjuk yang paling penting sekali dan melihat sendiri sambutan rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Mengulas mengenai kerjasama dengan PH dan BN di peringkat Parlimen Tanjong Karang, Zulkafperi berkata, semua pimpinan politik peringkat kerajaan di Parlimen itu memberikan kerjasama baik.

Ditanya adakah beliau ada menerima tawaran untuk menyertai mana-mana parti politik selepas keahliannya dalam Bersatu terhenti, Zulkafperi berkata, setakat ini tiada tawaran dilakukan.

"Menyertai parti politik ini terlalu awal untuk saya dan belum menerima apa-apa tawaran daripada parti politik lain," tambahnya.

Sebelum ini, enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang yang mengisytiharkan sokongan Anwar kekal sebagai wakil rakyat.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan perkara itu dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat bertarikh 10 Julai.

Selain Zulkafperi, lima yang lain adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).