SHAH ALAM - Keputusan terbaharu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengesahkan pendudukan haram Israel ke atas Palestin membuktikan kepimpinan rejim itu adalah penjenayah perang yang perlu ditangkap dan diadili.
Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) dalam kenyataan berkata, keputusan berkenaan memberi implikasi yang luas untuk keadilan, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang di peringkat global.
Menurut Centhra, ia merupakan langkah penting ke arah pengiktirafan penderitaan dan ketidakadilan berpanjangan yang dihadapi oleh rakyat Palestin akibat kerakusan pemimpin utamanya, Benjamin Netanyahu.
"Keputusan ini dengan tegas menyatakan rakyat Palestin berhak menerima ganti rugi yang besar atas pelanggaran sistematik terhadap hak mereka dan kerosakan besar yang ditimbulkan kepada mereka.
"Ini bermakna ianya juga menekankan keperluan mendesak untuk pemulihan dan pengakuan terhadap ketidakadilan teruk yang dilakukan terhadap penduduk Palestin,” kata kenyataan itu pada Sabtu.
ICJ pada Jumaat memutuskan bahawa aktiviti penempatan Israel di Wilayah Palestin melanggar undang-undang antarabangsa.
Presiden ICJ, Nawaf Salam berkata, pendengaran mahkamah itu mengesahkan bidang kuasanya untuk mengeluarkan pendapat nasihat mengenai akibat undang-undang pendudukan Israel di Wilayah Palestin, dengan menyatakan bahawa ia mempunyai maklumat yang mencukupi mengenai perkara itu.
Salam berkata, dasar penempatan Israel tidak mematuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, aktiviti penempatan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa terus berkembang.
Pendudukan Israel di Wilayah Palestin adalah pengilhakan de facto, yang melanggar hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
Menurut kenyataan itu, dengan keputusan ini Centhra menyeru kerajaan Barat untuk mengambil tindakan segera dan konkrit dengan sekurang-kurangnya kerajaan-kerajaan ini mesti mengiktiraf negara Palestin dan mengenakan sekatan menyeluruh terhadap Israel sehingga ia sepenuhnya berundur dari wilayah yang diduduki.
"Langkah-langkah seperti ini adalah penting untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan memastikan keadilan untuk rakyat Palestin.
"Walau bagaimanapun, keputusan ICJ, walaupun monumental, bukanlah titik akhir. Ia adalah panggilan penting untuk NGO hak asasi manusia di seluruh dunia memperhebatkan usaha dan advokasi mereka,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Centra juga menggesa organisasi-organisasi ini untuk bekerja tanpa henti bagi memastikan ICC mempercepatkan proses pertimbangannya dan mengeluarkan waran tangkap terhadap pelaku jenayah berat ini.
"Komuniti antarabangsa tidak boleh berlengah dalam membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Keadilan untuk rakyat Palestin telah lama tertangguh dan keputusan ICJ adalah detik penting dalam perjuangan yang berterusan ini," kata kenyataan itu.