Jangan tunggu lama lebih 24 jam

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian. Gambar kecil: Shahul Hamid

SHAH ALAM – Tindakan orang awam melaporkan kepada polis dengan cepat kes kehilangan ahli keluarga atau kenalan tanpa menunggu tempoh 24 jam mampu menyelamatkan nyawa mangsa.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, laporan awal yang diterima akan membolehkan polis bertindak segera dan berupaya mengesan mangsa dengan cepat seterusnya mengelakkan kejadian tidak diingini lain daripada berlaku.

Iklan
Iklan

"Jadi sekarang ini kalau kita rasa ahli keluarga atau kenalan kita hilang dan mereka gagal dihubungi serta kita rasa curiga dan bimbang, buatlah segera laporan polis walaupun tempoh mereka gagal dihubungi itu baru satu dua jam. Jangan tunggu lama sampai lebih 24 jam atau hingga beberapa hari.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Khamis bahawa orang awam tidak perlu menunggu sehingga 24 jam untuk melaporkan kes kehilangan ahli keluarga mahupun kenalan.

Iklan

Menurutnya, dakwaan perlu menunggu sehingga 24 jam selepas kehilangan ialah mitos yang sering disebarkan banyak pihak tanpa asasnya.

Dalam pada itu, Shahul Hamid menjelaskan, tindakan pantas perlu dibuat kerana sejak kebelakangan ini banyak kes orang hilang berlaku termasuk kes kehilangan dan pembunuhan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang menggemparkan negara.

Iklan

Tambah beliau, tuntutan supaya laporan polis perlu dibuat seawal yang mungkin bukan sahaja menjadi prosedur operasi standard (SOP) di Malaysia bahkan di negara-negara lain.

"Kalau ikut SOP mana-mana negara pun kalau ada kes orang hilang atau berlaku jenayah, laporan perlu dibuat secara serta-merta.

"Mungkin ada yang beranggapan perbuatan buat laporan awal ini akan bebankan tugas polis seandainya kes orang hilang itu tidak berlaku dan pengadu pada awalnya cuma syak ahli keluarga mereka hilang.

"Jangan fikir begitu kerana tindakan awal polis lebih penting daripada segala-galanya. Tidak ada masalah sekiranya orang yang dilaporkan hilang tersebut kemudian dapat dihubungi dan balik ke rumah, pengadu cuma perlu maklumkan semula perkara tersebut kepada polis,” ujarnya.

Kata Shahul Hamid, aduan yang diterima oleh orang awam mengenai kebimbangan terhadap ahli keluarga atau kenalan yang gagal dihubungi sudah memadai untuk pihak polis menjalankan siasatan dan cuba mengesan individu itu menerusi SOP yang telah ditetapkan termasuk dengan melakukan sekatan jalan raya.