PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky percaya ketiga-tiga beregu negara berada di landasan terbaik untuk memulakan cabaran pada Sukan Olimpik 2024 di Paris minggu depan.
Kem badminton negara disertai beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Cabaran negara turut digalas perseorangan wanita, Goh Jin Wei dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia.
"Kita lihat semuanya sudah bersiap sedia. Bagi Aaron-Wooi Yik, saya boleh katakan (kesediaan) dalam 90 hingga 95 peratus.
"Tang Jie-Ee Wei sebelum ini ada kalah ada menang (tidak konsisten), tetapi kini kita nampak mereka sudah bersedia dan Pearly-Thinaah juga begitu.
"Secara keseluruhan, ketiga-tiga beregu ini sudah bersedia untuk Paris nanti,” kata Rexy.
Sejak berlepas ke Paris hujung minggu lalu, kem badminton negara berpeluang menyertai beberapa sesi simulasi serta latihan secara terbuka.
Lebih menarik ia turut disertai pemain dari Perancis dan ia dilihat satu perkara positif bagi membentuk psikologi pemain menjelang perlawanan.
"Ia tidak dijangka dibuka kepada awam dan ada sesuatu yang boleh kita ambil daripadanya. Kehadiran (penonton) mereka di sini ternyata dapat membentuk satu atmosfera yang seakan pertandingan.
"Beregu campuran nombor satu Perancis menyertai kami di simulasi dan latihan terbuka ini. Ia sesuatu yang positif.
Sebelum ini, pemain menyertai kem latihan sahaja, jadi dari sudut permainan, taktik atau skil itu pastinya mereka sudah siap.
"Jadi ini sesuatu yang cukup baik dengan ada penonton dan lawan dari beregu campuran... bukan dari teman sendiri sahaja. Jadi ia membuatkan satu atmosfera berbeza yang boleh membuatkan pemain itu secara psikologinya sudah bersedia untuk Paris 2024 nanti,” ujar Rexy.
Badminton dijadual berlangsung di Arena Porte de la Chapelle dari 27 Julai hingga 5 Ogos ini.