GUA MUSANG - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin memberi jaminan 'pisang tidak akan berbuah dua kali' pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos depan sebagaimana yang berlaku sebelum ini.
Beliau berkata, Bersatu akan memastikan individu yang dipilih sebagai calon tidak mengkhianati parti.
"Oleh itu, Bersatu akan mengambil satu langkah bagi mengatasi perkara tersebut yang dilaksanakan oleh parti secara dalaman.
"Kita akan buat yang terbaik dan insya-ALLAH kali ini pisang tidak akan berbuah dua kali," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar pada Ceramah Gelombang Selamatkan Malaysia dan Pelancaran Jentera PRK Nenggiri di Markas Pas Limau Kasturi 2, di sini pada Sabtu malam.
Menurut beliau, rakyat Nenggiri akan terus kekal bersama Perikatan Nasional (PN) menerusi sokongan kepada calon yang menggunakan simbol Pas pada PRK nanti.
Ujarnya, Bersatu akan memberikan yang terbaik bagi memastikan calon mereka menang.
PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lepas, mengumumkan kekosongan kerusi itu susulan tindakan Bersatu menggugurkan keahlian penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian DUN Nenggiri pada 17 Ogos manakala penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.