Lebih jimat, trend melancong 'backpacking' terus jadi pilihan

Iklan
Sharifah Sakinah Nadia berjaya melawat tiga buah negara - Jerman, Switzerland dan Itali - dalam tempoh 14 hari dengan hanya RM7,000. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Melancong ke luar negara, terutama ke benua Eropah, biasanya memerlukan perbelanjaan tinggi yang mampu mencecah puluhan ribu ringgit, berikutan perbezaan nilai mata wang Malaysia dengan negara Eropah agak besar.

Namun, melancong secara 'backpacking', iaitu mengembara dengan hanya membawa sebuah beg galas dan merancang sendiri perjalanan, membolehkan seseorang menjimatkan kos serta melawat lebih banyak destinasi.

Iklan
Iklan

Itulah yang dilakukan oleh Sharifah Sakinah Nadia Syed Shahir yang berjaya melawat tiga buah negara - Jerman, Switzerland dan Itali - dalam tempoh 14 hari dengan hanya RM7,000.

Menceritakan pengalamannya kepada Bernama, wanita berusia 43 tahun itu berkata, dia berbuat demikian sejak 2006, dan hingga kini, telah mengunjungi 15 buah negara yang kesemuanya dijayakan tanpa khidmat ejen pelancongan.

Iklan

"Untuk melancong dengan cara begini, seseorang perlu mengkaji negara yang akan dilawati, antaranya aspek pengangkutan dan penginapan.

Kita juga perlu merancang dengan teliti itinerari, untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain, agar kita tidak membuang masa, sekali gus menjimatkan kos.

Iklan

"Kalau pergi ke sesebuah negara, pengangkutan antara paling penting.

Jadi, kita kena tahu yang mana lagi mudah dan murah. Seperti di Jerman, kebiasaannya kalau nak ke bandar, saya akan naik pengangkutan awam seperti bas, trem atau kereta api sebab agak susah untuk akses kemudahan letak kenderaan kalau guna kenderaan persendirian.

"Kalau perjalanan jauh, untuk meneroka bandar-bandar seperti Frankfurt, Berlin atau Munich, saya akan sewa kereta,” katanya yang mempunyai Permit Memandu Antarabangsa.

Permit itu katanya, boleh dimohon di mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Menurut Sharifah Sakinah Nadia lagi, pelancongan cara itu juga lebih santai kerana tidak terikat dengan program yang diatur oleh agensi pelancongan.

Yang penting, katanya, adalah peka dengan jadual pengangkutan awam.

Berkongsi minat sama, Eksekutif Jualan dan Pemasaran Arisya Zamri, 24, berkata, dia akan memilih menginap di asrama atau bilik ala asrama sekiranya melancong ke Eropah, bagi menjimatkan kos.

"Jika menginap di asrama atau bilik asrama seperti ini, lazimnya kos hanya sekitar RM3,000 bagi dua orang untuk tempoh dua minggu,” katanya yang telah melancong ke 13 buah negara secara 'backpacking'.

Melancong ke luar negara, terutama ke benua Eropah, biasanya memerlukan perbelanjaan tinggi yang mampu mencecah puluhan ribu ringgit, berikutan perbezaan nilai mata wang Malaysia dengan negara Eropah agak besar.(Gambar hiasan) Foto 123rf

Selain itu, seseorang juga perlu ringan mulut bertanya kepada yang pernah melancong ke negara berkenaan serta rajin melayari platform dalam talian termasuk Facebook atau Airbnb, bagi mendapatkan kemudahan penginapan pada harga durian runtuh.

Untuk menjimatkan lagi kos, anak jati Negeri Sembilan itu berkata, dia biasanya membawa bekalan makanan dari Malaysia atau memasak sendiri.

Semestinya percutian tidak sah jika tidak mengunjungi tempat menarik di negara yang dilawati, dan kata Arisya, dia akan membuat tempahan tiket dalam talian sebelum berlepas ke negara tersebut.

"Kalau sampai di sana baru nak beli, akan jadi berganda harganya,” katanya sambil menasihati mereka yang ingin 'backpacking' agar menempah tiket penerbangan sekurang-kurangnya enam bulan awal agar dapat menikmati tambang lebih rendah. - Bernama