PASIR GUDANG - Penarikan sokongan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan akan meruntuhkan kerajaan sedia ada dan menyebabkan politik negara kembali tidak stabil.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambrose berkata, UMNO perlu bertanggungjawab malah memperkukuh kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan untuk kepentingan rakyat serta negara dan bukan sebaliknya.
"Saya rasa fokus dan tanggungjawab UMNO pada hari ini adalah memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan. Saya rasa tidak bertanggungjawab kalau tiba-tiba kita yang nak runtuhkannya (kerajaan sedia ada).
"Cara kita untuk memperkukuhkan adalah dengan memastikan Kerajaan Perpaduan dapat berjalan dan berkhidmat sebaiknya walaupun kita tahu prestasi pada hari ini ramai yang tak puas hati disebabkan beberapa perkara.
"Contohnya penyasaran semula subsidi diesel, ia memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap kerajaan," katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang di Taman Rinting di sini pada Sabtu malam.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib.
Beliau mengulas usul persidangan dari beberapa UMNO bahagian di negeri ini antaranya di Tenggara dan Kluang yang mahukan parti itu memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP kerana dilihat merugikan UMNO dan orang Melayu.
Selain itu, Timbalan Presiden UMNO, Daatuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara minggu lalu berkata, belum tentu lagi UMNO akan bersama mana-mana gabungan politik dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, UMNO ketika ini tidak banyak pilihan dan perlu mengelak mengambil langkah yang boleh merugikan parti tersebut.
Katanya, banyak faktor yang perlu diambil sekiranya UMNO mahu bekerjasama dengan mana-mana pihak pada PRU-16 dan keputusan itu perlu menguntungkan parti.
"Kalau tanya saya, tanya Pemuda UMNO Johor, siapa gabungan yang kita nak tentukan, mestilah pihak yang boleh beri kita seberapa banyak kerusi yang boleh untuk bertanding dalam PRU16. Ada pemimpin negeri yang melihat dalam konteks negeri semata-mata.
"Sebelum ini kita menang 40 kerusi (Dewan Undangan Negeri dalam Pilihan Raya Negeri Johor), tapi yelah sentimen PRN (pilihan raya negeri) dgn PRU (pilihan raya umum) berbeza," ujar beliau.
Noor Azleen menegaskan, ketika ini UMNO perlu menguatkan parti dan pada masa sama menguatkan Kerajaan Perpaduan dan untuk itu, parti keramat orang Melayu tersebut perlu berperanan dan menyumbang secara efektif dalam kerajaan.
"Pastikan apa yang kerajaan buat itu betul-betul terbaik untuk rakyat dan akhirnya memberi kesan baik kepada masyarakat," ujarnya dan tidak menolak prestasi buruk Kkerajaan Perpaduan sebelum ini beri kesan kepada UMNO walaupun di peringkat negeri kerajaan sudah melakukan yang terbaik.