[VIDEO] Bekas pensyarah, kontraktor didakwa miliki bahan, sebar ideologi Daesh

Iklan

JOHOR BAHRU - Seorang bekas pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad, atas empat pertuduhan termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan ideologi kumpulan Daesh antara September 2023 hingga Jun lalu.

Abdullah Daud, 70, mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Fatimah Zahari, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menggalakkan perbuatan pengganas dengan cara menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait kumpulan Daesh.

Abdullah (belakang) dan Mohamad (depan) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.

Abdullah juga berdepan pertuduhan membenarkan perjumpaan diadakan dalam rumahnya di Kampung Melayu Kangkar Tebrau, untuk menyokong aktiviti keganasan.

Iklan

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di rumah miliknya di Kampung Melayu Kangkar Tebrau, antara 3 September 2023 hingga 14 April lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Abdullah didakwa masing-masing mengikut Seksyen 130G (a) dan Seksyen 130H (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan denda.

Iklan
Abdullah dibawa keluar selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Abdullah turut didakwa memiliki dua buku bertajuk Hakikat Dienul Islam dan Tarbiyah Jihadiyah, dua buku digital dan dua video item yang berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas Daesh di dalam telefon bimbitnya.

Kesalahan itu dilakukan di kediamannya di Kampung Melayu Kangkar Pulai, pada 23 dan 28 Jun lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Abdullah didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucutkan hak bahan-bahan berkenaan.

Sementara itu, pada prosiding sama, seorang kontraktor berdepan pertuduhan memiliki item yang berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas Daesh di dalam telefon bimbit dan komputer riba miliknya.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadap Mohamad Awang, 48, di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Mohamad keluar selepas prosiding pendakwaan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Taman Daya, kira-kira jam 7.05 pagi pada 23 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucutkan hak bahan-bahan berkenaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rullizah Abdul Majid dan Lina Hanini Ismail dengan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan jaminan ke atas kedua-dua tertuduh berikutan mereka ditahan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang didakwa dengan kesalahan keselamatan.

Hakim kemudian menyatakan tiada jaminan diberikan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 18 September depan bagi pengurusan kes dan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur