Syarikat telekomunikasi diarah bayar bekas pekerja pampasan RM703,664

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Mahkamah Perusahaan Malaysia mengarahkan sebuah syarikat telekomunikasi membayar pampasan berjumlah RM703,664 kepada bekas pekerjanya selepas syarikat itu didapati bersalah memberhentikan pekerja terbabit secara tidak adil.

Bekas pekerja berkenaan yang dikenali sebagai Ng berkhidmat dengan syarikat telekomunikasi terbabit selama 25 tahun sebelum diberhentikan atas alasan prestasi yang dikatakan tidak memuaskan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan keputusan mahkamah, Ng telah ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa pada 28 Februari 2021 selepas dikenakan tindakan di bawah Program Peningkatan Prestasi (PIP) selama tiga bulan.

Ng memulakan perkhidmatan dengan syarikat itu pada 11 Oktober 1995 dengan gaji RM2,400 sebulan dan sewaktu ditamatkan perkhidmatan dia berjawatan sebagai pakar pengurus projek dengan gaji pokok RM15,920.

Iklan

Atas alasan gagal memperbaiki tahap pencapaian kerja walaupun peluang secukupnya diberikan untuk tujuan tersebut, syarikatnya mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan Ng.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati bahawa pemberhentian berkenaan adalah tanpa alasan yang munasabah dan menyoroti ketidakadilan dalam keputusan untuk meletakkan bekas pekerja itu di bawah PIP serta cara pelaksanaan PIP tersebut.

Iklan

"Melalui keseluruhan keterangan yang ada dan atas fakta bahawa Yang Menuntut (Ng) telah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman kerja yang luas bermula dari peringkat bawah, maka Yang Menuntut mempunyai ruang dan laluan mempersoalkan tindakan syarikat meletakkannya di bawah PIP.

"Yang Menuntut bukan mengalami kegagalan secara total di dalam melaksanakan 13 senarai tugas hakikinya, sebaliknya keterjejasan terjadi apabila dia terikat dengan tugas-tugas tambahan yang terkandung dalam penilaian PIP melibatkan kekangan masa lebih-lebih lagi sewaktu penularan Covid-19,” kata mahkamah.

Mahkamah berkata, program PIP yang tidak jelas di sudut maksud dan keperluannya bukan sahaja telah mendatangkan kesusahan malah lebih ketara ia mengganggu konsentrasi Yang Menuntut dan menimbulkan bebanan serta menghilangkan tumpuannya dalam menjalankan tugas harian.

Justeru, katanya, mahkamah memutuskan bahawa pihak syarikat telah gagal membuktikan di atas imbangan kebarangkalian bahawa penamatan kerja Ng telah dilakukan atas sebab dan alasan yang adil.

Dalam perbicaraan kes itu, Ng diwakili peguam dari Tetuan Tang & Hong, Patrick Tan Yan Hong manakala syarikat telekomunikasi berkenaan diwakili peguam, Janice Anne Leo, Adrienna Sena dan Gurjeevan Singh Sachdev dari Tetuan Steven Thiru & Sudhar Partnership.

Sementara itu, Patrick berkata, pihaknya percaya keputusan mahkamah itu akan menjadi satu peringatan kepada kedua-dua pihak iaitu pekerja dan majikan.

Ujarnya, ia menekankan hak-hak pekerja dan keperluan bagi majikan untuk menangani pemberhentian dengan lebih berhati-hati dan adil.