Jualan Ehsan Rahmah tawar pelbagai barangan basah

Iklan
Sebanyak 2,000 ayam segar dan 1,000 peket beras lima kilogram (kg) disediakan menerusi Jualan Ehsan Rahmah sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di sini pada Ahad.Gambar hiasan

CYBERJAYA - Sebanyak 2,000 ayam segar dan 1,000 kampit beras lima kilogram (kg) disediakan menerusi Jualan Ehsan Rahmah sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di sini pada Ahad.

Penyelaras program khemah jualan pelbagai produk makanan itu, Rosnaini Abdul Malek berkata, enam barangan utama termasuk ayam dan beras disediakan, dengan purata diskaun 20 hingga 30 peratus berbanding harga di pasaran.

Iklan
Iklan

"Barangan makanan utama lain yang dijual juga adalah telur ayam, ikan rakyat (pelbagai jenis seperti kembung, cencaru dan bawal), daging dan minyak masak peket 1kg, memandangkan ini antara barang yang menjadi pilihan utama orang ramai,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga Pengurus Besar (Perniagaan dan Pemasaran) Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata, setiap pembeli bagaimanapun hanya dibenarkan membeli dua ekor ayam dan satu kampit beras tiap seorang kerana stok adalah terhad.

Iklan

"Untuk stok telur ayam 700 papan disediakan dengan satu papan untuk seorang pembeli. Stok daging ada 400 peket dengan setiap peket seberat 900 gram (g) dan tiap seorang pembeli dibenarkan membeli dua peket sahaja.

"Bagi stok minyak masak peket adalah sebanyak 850 peket, dan tiap seorang hanya dibenarkan membeli dua peket, manakala untuk stok ikan ada 400 peket dengan tiap satu peket mempunyai enam ke tujuh ekor ikan yang boleh dibeli tanpa had,” katanya.

Iklan

Selain enam barangan utama itu, 25 barangan lain turut dijual melalui Jualan Ehsan Rahmah antaranya minyak masak botol 5kg, gula, susu pekat, bihun dan karipap beku.

Rosnaini berkata, pihaknya menganggarkan 1,000 pengunjung memanfaatkan Jualan Ehsan Rahmah yang dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan kerjasama kerajaan Selangor itu.

Sementara itu seorang pembeli, Norezadatul Shahizad, 34, berkata, Jualan Ehsan Rahmah ini sangat membantu rakyat untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup.

"Malah sekarang tengah bulan dan kewangan agak terhad. Jadi dengan adanya jualan sebegini, ia sangat membantu saya sekeluarga dalam aspek perbelanjaan. Kalau beli ayam kat pasar raya hampir RM20 tetapi di sini (Jualan Ehsan Rahmah) boleh beli ayam seekor pada setengah harga sahaja,” kata penduduk Kajang itu.

Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang berkonsepkan karnival rakyat itu bermula 9 pagi hingga 4.30 petang, dengan pelbagai program disediakan bagi mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat menuju Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan sambutan itu pada pukul 3 petang.

Beras putih tempatan, bakul barangan runcit tarikan Jualan Agro Madani

Dalam pada itu, beras putih tempatan dan Jualan Kombo Madani menjadi antara tarikan utama di Jualan Agro Madani sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang berlangsung di sini.

Peniaga Agro Madani, Saifuddin Sapar, 34, berkata, 200 kampit beras putih tempatan 10 kilogram dijual pada Ahad dengan harga RM26.

"Hari ini kami bawa beras putih tempatan Jualan Kombo Madani, serta buah-buahan potong dan jus buah-buahan. Untuk Jualan Kombo Madani, setiap bakul mengandungi lima barang iaitu minyak masak, bihun, telur, bawang, dan sayur yang dijual pada harga RM10.

"Biasanya jika semua item ini dibeli di luar, harganya sekitar RM15, tetapi hari ini (Ahad) kami menjualnya dengan harga lebih murah,” katanya kepada Bernama.

Saifuddin berkata, barangan yang ditawarkan dalam program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu biasanya berbeza mengikut permintaan orang ramai.

"Bakul kombo barangan runcit adalah inisiatif baru tahun ini. Tahun-tahun sebelumnya, kami menjual barangan basah seperti ayam dan sayur-sayuran,” katanya.

Sementara itu seorang pengunjung, Ammar Ishak, 50, berkata program seperti ini sangat dinantikan kerana ia membolehkan beliau membeli barangan keperluan pada harga yang lebih murah.

"Kami memang tahu jika ada program seperti ini, pasti ada tawaran menarik untuk barangan keperluan dan barangan basah. Sebab itu saya selalu berkunjung ke program seperti ini untuk merebut peluang mendapatkannya,” katanya. - Bernama