JoW terus aktif beri nasihat guaman di luar bandar

Iklan
Kula Segaran (berdiri, kanan) melihat secara dekat kenderaan JoW sempena Program Hari Bertemu Pelanggan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri di sebuah pusat beli belah pada Ahad.

IPOH - Program klinik bantuan guaman 'Justice On Wheels' (JoW) oleh Jabatan Bantuan Guaman sedang diperluas secara aktif di Semenanjung Malaysia bagi membantu masyarakat luar bandar mendapatkan khidmat guaman dengan lebih mudah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kula Segaran berkata, ketika ini, program berkenaan aktif dilaksanakan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kenderaan JoW sudah mula digerakkan ke beberapa negeri di semenanjung Malaysia termasuk di Perak.

"Sekarang ini kita aktif di Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung Malaysia bulan ini kita berada di Negeri Sembilan dan selepas ini saya akan minta mereka berada di Perak dan pergi ke kawasan luar bandar seperti Parit, Bota, Bagan Serai dan Gerik untuk memberikan perkhidmatan berkenaan," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Hari Bertemu Pelanggan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri di sebuah pusat beli belah di sini.

Kula Segaran (dua dari kiri) menyempurnakan gimik menampal pelekat QR pada kenderaan JoW sempena Program Hari Bertemu Pelanggan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri di sebuah pusat beli belah pada Ahad

Kula Segaran berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini sebagai peguam, memang terdapat permintaan serta kesukaran dihadapi masyarakat luar bandar mendapatkan akses berkaitan khidmat nasihat guaman.

Iklan

Katanya, kebanyakan khidmat nasihat yang ditawarkan melibatkan isu-isu seperti pembahagian harta pusaka, tanah dan sebagainya.

Jelasnya, dengan adanya program tersebut, orang ramai terutama masyarakat luar bandar dapat manfaat dan khidmat nasihat guaman yang diperlukan.

Sehingga Jun 2024 program JoW telah berjaya memberikan khidmat nasihat guaman kepada 358 pelanggan.

Antara kes atau tuntutan yang dikendalikan Jabatan Bantuan Guaman termasuklah nafkah, tuntutan cerai, hak penjagaan, permohonan anak angkat, sewa beli, pinjaman wang dan sebagainya.

Sementara itu, program Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan melibatkan sebanyak 13 jabatan, agensi, organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan pelbagai perkhidmatan.