Siti Nur Balqiesh lari rumah, merajuk tak boleh tukar kursus pengajian

Iklan
Siti Nur Balqiesh ditemui selemat di Pasir Gudang pada petang Sabtu.

KOTA TINGGI - Remaja perempuan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Penawar pada Khamis lalu yang merajuk kerana mahu menukar kursus sudah ditemui di Pasir Gudang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, remaja terbabit, Siti Nur Balqiesh Rasid, 17, ditemui orang awam di kedai makan berhampiran sebuah hentian bas di Pasir Gudang pada petang Sabtu.

Iklan
Iklan

"Orang awam mengecam wajah remaja perempuan itu sebagai Siti Nur Balqies selepas melihat hebahan orang hilang oleh pihak polis yang tular di media sosial.

"Ibu kepada remaja perempuan telah dihubungi dan bertindak mengambil Siti Nur Balqiesh sebelum dihantar ke Balai Polis Bandar Penawar untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Iklan

Hussin berkata, Siti Nur Balqiesh yang merupakan pelajar di sebuah kolej kemahiran di Johor Bahru berada dalam keadaan sihat dan baik ketika ditemui.

Sebelum itu, Siti Nur Balqiesh dilaporkan hilang selepas dikesan keluar dari rumahnya di Bandar Penawar sekitar jam 7 malam pada Khamis.

Iklan

Menurut Hussin, bapa remaja terbabit telah bertindak membuat laporan polis berhubung kehilangan anak sulung daripada empat beradik di Balai Polis Bandar Penawar pada malam kejadian.

Jelasnya, remaja terbabit dipercayai merajuk kerana mahu menukar kursus yang diambil, namun diberitahu tidak boleh berbuat demikian kerana perlu menghabiskan semester ini.

Pada hari kejadian, ibu bapa remaja berkenaan difahamkan telah menjemput Siti Nur Balqiesh pada petang Khamis dari kolej berkenaan dan dibawa pulang ke rumah mereka di Bandar Penawar.