GUA MUSANG - Perikatan Nasional (PN) dijangka menamakan Sheikh Razali Hamad dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Bekas Ketua Pemuda UMNO Gua Musang itu dilihat semakin hampir dinamakan sebagai calon apabila sepentas bersama tokoh-tokoh besar PN pada malam Sabtu ketika Ceramah Gelombang Selamatkan Malaysia dan Pelancaran Jentera PRK Nenggiri di Markas Pas Limau Kasturi 2 di sini.
Mengukuhkan lagi andaian, Pengarah Operasi PN bagi PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa dalam ucapannya menyebut yang akan mewakili PN sudah lama bergiat dalam politik.
Berpandukan kepada andaian itu, maka Sheikh Razali adalah individu yang dimaksudkan tersebut.
Bagaimanapun, Sheikh Razali mendedahkan, sehingga kini parti belum memuktamadkan lagi siapa calon yang dipilih untuk mewakili PN.
Katanya, beliau menyerahkan keputusan itu kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.
Media sebelum ini melaporkan, dua nama iaitu Sheikh Razali dan Sun Najaman Muhamad, disebut-sebut bakal menjadi calon Bersatu dalam PRK DUN Nenggiri.
Sheikh Razali adalah ahli Bersatu yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, manakala Sun Najaman pula penggawa di Dabong.