Pindaan Akta 574 akan dibuat pada sidang Parlimen Oktober depan

Iklan
Azalina (tengah) bersama perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam.

BUTTERWORTH - Kerajaan akan meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membanteras gejala buli siber yang dijangka dibentangkan pada persidangan Parlimen Oktober depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu sedang diteliti oleh pasukan khas yang ditubuhkan kerajaan membabitkan empat kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Digital, Kementerian Komunikasi dan Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Iklan
Iklan

Menurutnya, pindaan itu dibuat bagi memastikan peruntukan jenayah berkaitan buli siber dapat dikuatkuasakan secara efektif memandangkan definisi taksiran khas buli siber tidak ada dalam undang-undang setakat ini

"Pasukan khas ini akan memperhalusi pindaan Akta 574 ini supaya pindaan dapat dibuat pada sesi Parlimen pada Oktober depan.

Iklan

"Setakat ini definisi taksiran buli siber tidak ada dalam undang-undang kerana dia ada rencah, jadi kita akan perhalusi nanti," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Ahad.

Terdahulu, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam 2024.

Iklan

Mengulas lanjut Azalina berkata, pihaknya juga akan mengadakan satu seminar undang-undang keselamatan dalam talian membabitkan penglibatan negara luar.

Beliau berkata, pihaknya mahu belajar daripada negara-negara lain seperti Australia, Kanada, United Kingdom dan juga Singapura dalam menangani jenayah buli siber.

"Dalam isu buli siber ini ada orang mengatakan bahawa sepatutnya diberikan kebebasan nak bercakap apa sahaja yang dia suka kerana mereka tak sentuh (secara fizikal) cuma mereka bercakap sahaja.

"Jadi sekarang dalam aspek jenayah itu ialah ia bukan satu. Dia buat scooping (plagiat), doxing (tindakan mendedahkan maklumat peribadi seseorang dalam talian tanpa persetujuan mereka), intimidation (perbuatan menakut-nakutkan). Lepas itu yang paling dahsyat dia menggalakkan orang wujudkan kebencian.

"Kita tak nak disebabkan ini generasi muda anak-anak kita yang tertekan dari segi emosi melakukan sesuatu yang tak elok pada diri mereka,” katanya lagi.

Pada Jumaat, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu buli siber di negara ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, jawatankuasa itu juga akan disokong pasukan khas melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.