Suami rebah di kedai makan, keluarga hilang punca pendapatan

Iklan
Lelaki terbabit rebah sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan diserang strok pada minggu lalu. Foto Lembaga Zakat Selangor

SHAH ALAM - Nasib ibu dua anak yang hilang punca pendapatan selepas ketua keluarga itu terlantar akibat serangan strok mendapat perhatian segera Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Kisah malang ketua keluarga terbabit yang juga merupakan seorang juru pasang penyaman udara dikongsi LZS menerusi laman Facebook agensi berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut perkongsian itu, Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor menerima info orang memerlukan bantuan pada Sabtu sebelum semakan segera dilakukan agensi berkenaan.

"Semakan itu dibuat dan mendapati lelaki terbabit merupakan ketua keluarga kepada dua anak masih kecil serta isteri yang tidak bekerja, dan kini terlantar akibat serangan angin ahmar.

Iklan

"Disahkan lelaki ini bekerja sebagai juru pasang pendingin hawa sepenuh masa dan kehidupan (mereka) sebelum ini mencukupi dan tiada sebarang masalah kewangan," kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, kata LZS, pada minggu lalu ketika di sebuah kedai makan, lelaki terbabit tiba-tiba rebah dan pengsan sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran.

Iklan

"Pakar perubatan mengesahkan beliau diserang strok dan ada pecahan pada saluran darah di otaknya.

Isteri pemuda terbabit perlu berulang-alik setiap hari ke hospital bagi menguruskan suaminya. Foto Lembaga Zakat Selangor

"Selain itu, pakar perubatan juga mengesahkan kedua-dua buah pinggangnya telah rosak pada tahap lima dan perlu menjalani rawatan dialisis segera kerana jantung juga mula membengkak akibat air yang terdapat dalam tubuh badannya," menurut kenyataan itu.

Menurut LZS, akibat situasi terkini, keluarga itu terputus sumber kewangan, manakala isteri pula perlu berulang-alik setiap hari ke hospital bagi menguruskan suaminya.

"Kami hulurkan bantuan kecemasan tunai pada malam ini (Sabtu) buat keperluan sementara waktu. Insya-ALLAH bantuan lain akan menyusul dengan fokus kepada keperluan bulanan, rumah dan perubatan.

"Kami manfaatkan agihan zakat anda buat mereka sekeluarga. Doakan semoga ALLAH kurniakan kesembuhan dan kesihatan buat suaminya dan dipermudahkan urusan isteri serta anak-anak yang menanti ayahnya kembali ceria seperti dahulu," tambah kenyataan itu.