Penyu mati tertimbus pasir ketika bertelur

Iklan
Seekor penyu betina dewasa jenis agar ditemui mati akibat tertimbus pasir ketika bertelur di Pantai Chakar Hutan di Kertih, Kemaman.

KEMAMAN - Seekor penyu betina jenis agar dipercayai berusia 20 tahun ditemui mati akibat tertimbus pasir ketika bertelur di Pantai Chakar Hutan dekat sini.

Pengurus Tapak Projek Pantai Chakar Hutan, Wan Zuriana Wan Sulaiman berkata, kejadian berlaku pada Rabu minggu lalu ketika anggota Persatuan Pemuliharaan dan Kajian Marin Malaysia (PULIHARA) bersama renjer Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menjalankan rondaan bagi merekod pendaratan penyu bertelur.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penyu berkenaan yang dianggarkan berat lebih 160 kilogram itu dikesan bertelur sekitar jam 10 malam sebelum sebahagian telurnya diambil untuk dipindahkan ke tapak penetasan.

"Bagaimanapun, penyu berkenaan ditemukan mati sebaik pasukan kita kembali untuk mengambil baki telurnya sekitar jam 2 pagi," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Wan Zuriana berkata, sebelum mengesan kematian penyu terbabit, pasukan itu menggunakan alatan bagi mengenal pasti kedudukan sarangnya.

"Waktu tu kita rasa pelik kerana alatan itu terkena pada bahagian karapas penyu terbabit. Sebaik menggali pasir kami nampak penyu itu sudah tidak bergerak dipercayai mati lemas.

Iklan

"Tinjauan di sekitar kawasan itu mendapati penyu terbabit bertelur di kawasan tebing pasir yang tinggi dengan jarak berdekatan pantai kerana air pasang.

"Ia dipercayai mengorek pasir di bawah tebing sebelum tebing pasir tersebut runtuh lalu menimpa badannya," katanya.

Bercerita lanjut, Wan Zuriana berkata, kes sedemikian jarang berlaku kerana kebanyakan penyu yang mendarat di situ untuk bertelur akan selamat pulang semula ke habitat asalnya.

"Kami sedih kerana penyu itu mati semata-mata untuk bertelur. Tambahan pula, jika dilihat pada fizikal penyu terbabit usianya mungkin sudah mencecah 20 tahun," katanya.