KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu bakal memasarkan durian kampung dari negeri itu ke pasaran China.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri berperanan sebagai pemudah cara untuk mengeksport raja buah itu secara segar ke China.
Menurutnya, usaha itu berdasarkan hasil pertemuan bersama delegasi dari pengeksport buah-buahan terbesar di China, syarikat Vanton International Sdn Bhd serta syarikat Mia Nafas Sdn Bhd dengan pekebun durian di Dewan Undangan Negeri Hulu Terengganu.
"Agendanya ialah Syarikat Vanton yang mempunyai pejabat di Shenzen, China mahu membawa durian kampung dari Terengganu ke pasaran China.
"Kerajaan negeri berperanan sebagai pemudah cara," katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya pada Ahad.
Mengulas lanjut, Azman berkata, durian yang dieksport itu merupakan durian kampung milik penduduk tempatan.
"Bukan musang king dan bukan duri hitam dan hanya durian kampung dari kebun milik orang kampung.
"Pihak syarikat akan memetik buah durian dengan tahap kematangan sekitar 70 peratus masak.
"Kemudian buah durian akan dieksport ke China secara segar. Bukan dengan kaedah pembekuan," jelas beliau.