Mapim lancar bantuan taja keluarga Palestin di Gaza

Iklan
Mohd Azmi (tiga dari kanan) bersama rakan strategik NGO yang menjayakan kempen ‘keluarga angkat Gaza-Malaysia’.

ALOR SETAR - Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) melancarkan misi bantuan bagi menaja keluarga Palestin yang menjadi sasaran genosid Israel.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, misi tersebut dilakukan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), MyChild International dan Nur Islam.

Iklan
Iklan

"Rakyat Malaysia berpeluang membantu keluarga di Gaza, dengan salurkan wang tunai untuk mereka dapatkan keperluan seperti perbelanjaan makanan, rawatan, pakaian dan barangan harian.

Dataran utama di bandar Bani Suheila, selatan Gaza, sebelum dan selepas pencerobohan Israel. (Foto: QNN)

"Mereka hanya berteduh di khemah atau runtuhan bangunan tanpa sebarang akses kepada bantuan makanan,” katanya selepas melancarkan kempen ‘Bina semula Gaza: Home Support Family 2024’ di sini pada Ahad.

Iklan

"Saya harap lebih ramai NGO, syarikat korporat, agensi kerajaan atau individu tampil menjayakan projek keluarga angkat Gaza-Malaysia ini kerana ratusan ribu keluarga di Gaza memerlukan bantuan.

"Lebih 300,000 rumah musnah dibom oleh Israel menyebabkan 1.7 juta warga Gaza menjadi pelarian,” ujarnya.

Rejim zionis memusnahkan Masjid Abdullah Azzam di utara kem Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza. (Foto: Shehab Agency)

Iklan

Mohd Azmi berharap inisiatif keluarga angkat Gaza ini mencapai sasaran 50 keluarga menjelang akhir tahun ini.

"Kempen ini istimewa menghubungkan keluarga Gaza dengan keluarga Malaysia. Kita mahu gabungkan sebanyak mungkin NGO untuk jayakan projek yang kini disertai 10 NGO di Kedah dan tiga di Pulau Pinang.

"Sasaran kita dapatkan 100 NGO selepas diperluaskan ke setiap negeri. Malah Indonesia dan Thailand turut menunjukkan minat untuk lancarkan program seumpama di negara berkenaan,” jelasnya.

Tambah Mohd Azmi, inisiatif lain termasuk mengadakan klinik bergerak kanak-kanak, mengedarkan pakaian sejuk kepada 1,000 orang, edar bateri kepada 500 keluarga serta menyokong 300 Halaqah Quran untuk kanak-kanak di kem pelarian Gaza.