KUALA LUMPUR - Pemuda Amanah menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk membawa pulang semua pelajar Malaysia yang berada di Bangladesh ekoran situasi protes yang semakin memuncak di negara terbabit.
Ketua Pemudanya, Hasbie Muda berkata, keselamatan dan kebajikan pelajar-pelajar tersebut harus menjadi keutamaan dan tidak boleh dikompromi.
"Pemuda Amanah menyokong tindakan Kementerian Luar yang telah memindahkan pelajar-pelajar Malaysia ke bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia demi keselamatan mereka.
"Namun kami berpandangan bahawa langkah seterusnya yang lebih proaktif adalah untuk membawa mereka pulang ke Malaysia dengan segera,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
"Kami menyeru Kementerian Luar, Kementerian Pendidikan Tinggi, dan semua agensi berkaitan untuk mempercepatkan proses evakuasi sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan menyukarkan proses membawa pulang,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan beribu-ribu pelajar Bangladesh berdemonstrasi sejak Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan kerajaan yang dimansuhkan pada 2018
Susulan itu, negara berkenaan mengumumkan penutupan semua universiti awam dan swasta mulai semalam susulan berkenaan semakin memuncak minggu ini.