KUALA LUMPUR - Ahli keluarga pelajar Malaysia yang terjejas dengan situasi terkini di Bangladesh berharap agar usaha membawa pulang kesemua pelajar terlibat dapat disegerakan melihat kepada situasi yang meruncing di negara itu.
Ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi WhatsApp pada Ahad, Ahmad Wafiq Aqil Kamarul, 23, pelajar Ijazah Sarjana Perubatan dan Pembedahan di Mymensingh Medical College berkata, keadaan di Bangladesh cukup membimbangkan dan keselamatan pelajar juga dikhuatiri terkesan jika tiada tindakan evakuasi segera diambil.
"Dengan situasi hari ini di mana gangguan Internet dan perbankan juga sudah mula alami gangguan seluruh negara, ahli keluarga pelajar yang bermesyuarat dan yang saya temui di tanah air hari ini juga sependapat sekiranya usaha bawa pulang kesemua para pelajar perlu disegerakan.
Menceritakan detik-detik awal rusuhan yang tercetus baru-baru ini, Ahmad Wafiq Aqil menambah keadaan menjadi rumit terutama setelah perkhidmatan Internet, rangkaian data mudah alih dan perkhidmatan pengangkutan awam terganggu.
"Saya sampai sahaja di lapangan terbang, semua rangkaian komunikasi sudah pun mulai terputus pada ketika itu. Dengan perintah berkurung yang sudah mulai berkuat kuasa semalam dan penutupan semua institusi pendidikan di sana, wajar untuk semua pelajar kita dibawa pulang segera,” tambahnya.
Terbaharu, Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) menegaskan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara tetap menjadi kepentingan utama berikutan situasi semasa di Bangladesh.
Dalam kenyataan terkini Wisma Putra pada Ahad, kementerian mengesahkan pelajar Malaysia yang terjejas oleh situasi semasa di Bangladesh telah dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi untuk keselamatan mereka.
Wisma Putra dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sedang mempertimbangkan semua pilihan yang ada, termasuk pemindahan jika perlu, menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan agensi berkaitan lain untuk membantu pelajar Malaysia di Bangladesh, menurut kenyataan itu lagi.
Sehingga lewat Jumaat (19 Julai), daripada 95 pelajar Malaysia di Bangladesh, dua orang telah meninggalkan Dhaka baru-baru ini dengan bantuan daripada Suruhanjaya Tinggi.
Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi. - Bernama