Pemandu tak berlesen jadi 'raja' di jalan raya

Iklan
APAD membatalkan lesen pengendali bas yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Turun Genting Highlands, hujung bulan lalu.

ACAP kali berlaku kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat. Jika tidak hilang nyawa atau kecederaan, sudah pasti menyebabkan berlaku kerosakan serta kerugian besar.

Terbaharu, insiden penunggang motosikal wanita dihempap kayu balak di Persimpangan Bendahara Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan pada 9 Julai lalu menyebabkan mangsa terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) akibat kecederaan dalaman parah.

Iklan
Iklan

Perasaan simpati terhadap mangsa berselang-seli dengan geram apabila Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo mengesahkan pemandu lori balak berusia 24 tahun itu tidak memiliki lesen memandu.

Pemandu lori terbabit ditahan, sementara polis turut mengeluarkan saman terhadap pemilik lori berusia 58 tahun kerana membenarkan kenderaan itu dipandu individu tidak berlesen.

Anand Kumar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Raub baru-baru ini atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya dan tidak memiliki lesen memandu. Gambar fail

Kes kedua berlaku membabitkan treler membawa muatan batu bata yang hilang kawalan di Kilometer (KM) 27.5 arah barat Genting Sempah menghala ke Gombak pada 12 Julai lalu. Kejadian menyebabkan beberapa individu cedera selepas lori berkenaan didakwa hilang kawalan sebelum terbabas.

Iklan

Muatan batu bata turut menyebabkan beberapa kenderaan mengalami kerosakan terkena batu bata yang bertaburan selain kesesakan lebih 30 kilometer.

Orang ramai juga tidak akan lupa kemalangan maut bas persiaran terbalik di KM 16.5 Jalan Genting Highlands, Bentong pada 29 Jun lalu yang mengorbankan dua pelancong asing, manakala 19 penumpang lain mengalami kecederaan.

Iklan

Rentetan kejadian membabitkan kenderaan berat ini, siapakah yang kebal atau tidak endah undang-undang lalu lintas, apatah lagi nyawa pengguna jalan raya lain.

Adakah pemandu kenderaan berat atau majikan yang terlalu kebal, atau undang-undang jalan raya itu sendiri yang lemah sehingga boleh dimanipulasikan ketika perbicaraan di mahkamah.

Bagi penulis, yang kebal sepatutnya pengguna jalan raya yang memiliki lesen sah, mematuhi undang-undang tetapi menjadi mangsa orang lain. Hak mereka perlu diutamakan.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, statistik terkini berkaitan kemalangan membabitkan kematian pada tahun 2023 ialah seramai 6,443 mangsa, sekali gus mencatatkan angka tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Secara puratanya, kira-kira 17 hingga 18 kes kematian dicatatkan sehari atau satu nyawa hilang di jalan raya bagi setiap 80 minit.

Daripada jumlah itu, katanya, hampir dua pertiga adalah kemalangan membabitkan motosikal iaitu 4,480 kematian atau purata 12 kematian pengguna motosikal sehari.

Untuk lebih jelas lagi, hampir setiap dua jam ada kemalangan maut membabitkan motosikal.

Tindakan Kementerian Pengangkutan mendedahkan statistik kes kematian akibat kemalangan secara real time setiap hari sebagai langkah baharu bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan orang ramai.

Anthony mengesahkan makluman itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat selepas diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan dan Keselamatan Jalan Raya.

"Menerusi langkah itu, orang ramai akan melihat sendiri data kes kematian akibat kemalangan secara harian yang ketika ini menjadi penyumbang utama kadar kematian dalam negara,” katanya.

Bagi penulis, segala langkah dilaksanakan kerajaan perlu seiring dengan penguatkuasaan undang-undang yang perlu memihak kepada mangsa yang tidak bersalah.

Orang ramai sudah muak dengan laporan pelaku ibarat ‘raja’ di jalan raya apabila bebas memandu kenderaan berat walaupun tiada lesen atau memiliki begitu banyak saman. Mereka hanya tertangkap sekiranya berlaku kemalangan atau tular di media sosial.

Selain ancaman wabak penyakit berbahaya, jalan raya juga menjadi salah satu penyebab kes kehilangan nyawa tertinggi di negara ini.

* Mohd Razlan Salleh ialah Penyunting Sinar Harian