MERAK Jalanan tumpang bangga dengan kejayaan anak muda kita daripada Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MSC MLBB) 2024 di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.
Kesungguhan mereka itu telah berjaya menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk menjuarai aksi antarabangsa e-sukan itu. Kejayaan itu sekali gus mengharumkan nama negara.
Dengan pencapaian tersebut juga, e-sukan kini dilihat semakin mendapat tempat di hati anak-anak muda. Maka ramailah anak-anak muda mula menyimpan cita-cita untuk berjaya seperti SRG.
Namun, ada juga yang leka terutama mereka yang masih bersekolah. Jangan begitu ye, adik-adik. Seimbangkan pelajaran dengan main permainan digital. Kena bijak urus masa.
Tidak ada sebab untuk anak-anak kita melupakan pelajaran, jauh sekali menjadikan alasan e-sukan sebagai contoh ilmu pengetahuan tidak penting. Itu tersasar sama sekali.
E-sukan adalah satu cabang baharu berasaskan teknologi dan sesiapa yang menguasainya bersama akademik tentunya mempunyai masa depan lebih baik.
Cuma, bagaimana kita nak adunkan e-sukan ini dengan akademik supaya ia mencakupi semua bidang, itu yang kita semua kena fikirkan.
Walaupun sebenarnya Merak Jalanan tidak pernah bermain permainan tersebut dan tidak pernah ambil tahu aksi e-sukan ini, tapi melihatkan hasil mereka membawa pulang wang tunai RM4.7 juta pastinya permainan ini bukan biasa-biasa.
Sudah sampai masanya kerajaan memberi perhatian sepenuhnya untuk perkembangan dan pembangunan industri e-sukan negara, seterusnya melahirkan lebih ramai atlet profesional yang berdaya saing serta berkemahiran dalam permainan digital ini.