DHAKA - Penunjuk perasaan antikuota mengingkari perintah berkurung kerajaan di beberapa bahagian Bangladesh pada Sabtu, ketika tentera menguatkuasakan perintah berkurung dalam usaha 'melumpuhkan' protes berdarah yang sudah mengorbankan lebih 100 orang.
Malah pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan penguat kuasa undang-undang masih berlaku di empat kawasan di bandar Dhaka.
"Kami tidak kisah tentang perintah berkurung, selagi tuntutan kami tidak dipenuhi, protes ini akan diteruskan,” kata Arafat Hossein, salah seorang penunjuk perasaan yang juga merupakan pelajar, lapor Benar News.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 25 lagi orang terbunuh pada hari Sabtu, kebanyakannya di Dhaka.
Perkhidmatan internet masih digantung di negeri itu dan menurut seorang pegawai kerajaan, perintah berkurung akan terus dikuatkuasakan sehingga sekurang-kurangnya pada Ahad.
Sistem itu memperuntukan 56 peratus daripada jawatan masuk pekerjaan kerajaan untuk demografi dan kelas tertentu.
Ia mencetuskan kemarahan dalam kalangan pelajar yang menghadapi isu pengangguran, dengan hampir 32 juta anak muda Bangladesh tidak bekerja atau belajar.
Demontrasi menjadi semakin tegang selepas Perdana Menteri Sheikh Hasina enggan memenuhi tuntutan penunjuk perasaan dan melabel penentang kuota itu sebagai ‘razakar’, istilah digunakan untuk mereka yang didakwa bekerjasama dengan tentera Pakistan semasa perang 1971.
Protes bertukar menjadi ganas minggu ini apabila ribuan penunjuk perasaan antikuota bertempur dengan anggota sayap pelajar parti pemerintah, Liga Awami di seluruh negara.
Polis terpaksa menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Dalam pada itu, pada Sabtu ketika penutupan internet dikenakan kerajaan telah memasuki hari ketiga, bank-bank di Bangladesh menghantar mesej menerusi teks mudah alih memohon maaf kepada pelanggan yang tidak dapat mengakses akaun mereka supaya mengisi semula pelan telefon bimbit masing-masing.
Bangladesh juga telah mengumumkan akan menutup semua universiti awam dan swasta dalam usaha mengekang protes ini daripada berlanjutan. - Agensi
INFO
- Peserta protes menuntut pemerintah menamatkan sistem kuota yang menawarkan kerja kepada ahli keluarga veteran perang ketika menuntut kemerdekaan dari Pakistan pada 1971 yang disifatkan sebagai satu bentuk diskriminasi.
- Sistem yang 'memperuntukkan' kira-kira 30 peratus jawatan perkhidmatan awam kepada kumpulan tertentu telah menjadi pemangkin kepada siri tunjuk perasaan ganas dilancarkan kumpulan penuntut universiti sejak 1 Julai lalu kerana didakwa memberi manfaat besar kepada keluarga yang menyokong Perdana Menteri, Sheikh Hasina yang memimpin Bangladesh sejak 2009 dan memenangi pilihan raya empat kali berturut-turut pada Januari lalu.
- Sistem kuota kontroversi itu diperkenalkan oleh pemimpin kemerdekaan, Sheikh Mujibur Rahman yang juga bapa kepada Hasina pada 1972.
- Pada 2018, demonstrasi penuntut universiti menyebabkan pentadbiran Hasina terpaksa mengurangkan sistem kuota tersebut.
- Pada bulan lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan memperkenalkan semula kategori 'pejuang kebebasan' di bawah skim tersebut yang telah dimansuhkan.
- Laporan Kementerian Pentadbiran Awam di Dhaka menunjukkan negara itu mempunyai lebih 1.9 juta jawatan untuk penjawat awam.
- Lebih 40 peratus atau 18 juta rakyat Bangladesh berusia antara 15 dan 24 tahun menganggur, belajar atau menjalani latihan. Kerajaan masih bergelut untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 170 juta penduduk.