NEWCASTLE United dilaporkan akan menghubungi Mauricio Pochettino untuk menjadi pengendali baharu mereka jika Eddie Howe memutuskan untuk mengambil alih jawatan pengurus England.
Howe dipercayai menjadi sasaran nombor satu Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris untuk menggantikan Gareth Southgate selepas penamat mengecewakan di perlawanan akhir Euro 2024.
Selain Howe, nama-nama seperti Graham Potter, jurulatih Bawah-21 (B-21) England; Lee Carsley dan Pochettino sendiri berada dalam senarai pendek FA.
Seperti dilaporkan oleh Mail Sport, Howe, 46 tahun, memberi amaran bahawa dia mesti berpuas hati dengan keadaan kerja di St James Park dalam mesej yang jelas kepada hierarki kelab.
Menurut The Mirror, Howe berada dalam kebimbangan antara peluang untuk mengurus negaranya - satu impian sepanjang hayat - dan kekal di Newcastle.
Pochettino yang merupakan mantan jurulatih utama Chelsea dan Tottenham, masih menganggur dan terbuka untuk menguruskan skuad kebangsaan England.
Sementara itu, Howe telah kehilangan dua sekutunya di Tyneside selepas Amanda Staveley dan Mehrdad Ghodoussi meninggalkan kelab serta menjual pegangan mereka.
Difahamkan, Paul Mitchell yang dilantik sebagai pengarah sukan baharu Newcastle musim panas ini adalah orang yang bertanggungjawab membawa Pochettino ke Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika berperanan sebagai ketua pencari bakat dan pembangunan Southampton.
Mitchell dan Pochettino juga pernah bekerja bersama semasa tempoh mereka di Spurs.
Pada Jumaat, FA mengiklankan satu jawatan kosong ketika mereka mencari calon sempurna bagi menggantikan Southgate sebagai pengurus The Three Lions.
Hanya calon yang mempunyai lesen kejurulatihan profesional Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan pengalaman luas dalam bola sepak Inggeris akan ditapis.