SHAH ALAM - Orang ramai berpeluang beramah mesra bersama pempengaruh cilik, Mohd Aniq Mohd Redzuan, 2, atau dikenali Bang Aji dalam sesi Temu Mesra sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024 di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 di sini pada 26 hingga 28 Julai ini.
Ayah kepada Mohd Aniq, Mohd Redzuan Zainol, 39, berkata, ia merupakan pengalaman kali pertama Abang Aji menjadi tetamu undangan dalam karnival secara besar-besaran seperti ini.
Ujar Mohd Redzuan, sesi temu mesra bersama Abang Aji akan berlangsung pada petang Sabtu selama dua jam.
"Dalam sesi temu mesra itu, ada juga aktiviti seperti sesi bergambar dan beramah mesra bersama Abang Aji.
"Harapan saya program Karnival Rakyat Karangkraf tahun ini dapat menarik lebih ramai pengunjung dengan adanya Abang Aji di sini, sekali gus memeriahkan lagi sambutan acara kali ini.
"Sudah tentu bila selesai semua, saya akan bawa Abang Aji jalan-jalan sekitar kawasan karnival, untuk dia cuba main apa-apa aktiviti yang ada,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini pada Ahad.
Karnival Rakyat Karangkraf akan bermula dari jam 9 pagi hingga 7 petang yang mana penganjurannya adalah bersempena ulang tahun Sinar Harian ke-18.
Bertemakan tradisional dan kerakyatan, karnival tersebut mengetengahkan dua komponen utama iaitu Sukan Rakyat dan Pentas Rakyat.
Pelbagai program serta aktiviti disediakan buat pengunjung termasuk Busking Rock Kapak, Rumah Hantu, Motor Siput, Pakaian Kucing Tercantik Tomkraf, ‘Couple’ Bikin Romantis, Sukaneka, SinarPlus MakanFest, Tating Lawi, Tuju Tin, Riuh Rewang dan banyak lagi.