PUTRAJAYA - Sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya di sekolah adalah dilarang.
Tegas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pentadbir di institusi pendidikan diingatkan untuk mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan dengan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.
"Ini (sumbangan hasil perjudian, rokok, dadah dan minuman keras) boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Ujar KPM, pihaknya mengambil serius isu penganjuran program amal di sebuah sekolah yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras seperti yang dilaporkan baru-baru ini.
"Isu ini berada dalam perhatian KPM dan siasatan lanjut sedang dijalankan," jelas kementerian itu.
Katanya lagi, kementerian mengalu-alukan usaha sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan bagi tujuan pembangunan selaras dengan inisiatif Sekolah Milik Masyarakat.
Namun kata KPM, ia perlu dilaksanakan berdasar kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018.
"KPM sentiasa proaktif menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda.
"Pelbagai program kesedaran dan pendidikan pencegahan dianjurkan di sekolah bertujuan untuk memberi bimbingan kepada murid," katanya.
Jumaat lalu, tular sekeping gambar program penganjuran majlis kutipan dana di sebuah sekolah yang melibatkan syarikat pengeluar minuman keras.