Ibu maut, anak usia tiga tahun cedera kemalangan

Iklan
Keadaan kedua-dua kenderaan remuk selepas terlibat kemalangan. Foto Ihsan Bomba

PASIR PUTEH - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita maut manakala anak perempuannya berusia tiga tahun cedera apabila kereta yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Machang Pasir Puteh, Kampung Kandis, di sini, pada Isnin.

Mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva, Siti Fairuz Mustaffa, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Anak perempuan mangsa berusia tiga tahun cedera di kepala manakala seorang lagi penumpang yang juga adik ipar perempuannya berusia 20-an cedera patah kaki kanan.

Pemandu SUV jenis Toyota Corolla Cross yang juga seorang doktor wanita mengalami kecederaan ringan.

Iklan

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Pegawai Bomba Kanan II KUP, Muhamad Deri Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 berhubung kemalangan itu pada jam 6.56 pagi.

Bomba yang menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa di Pasir Puteh. Foto Ihsan Bomba

"Sebaik tiba, pihak kami mendapat kemalangan berlaku melibatkan sebuah kenderaan dinaiki tiga sekeluarga dan sebuah lagi kenderaan dipandu oleh seorang secara wanita bersendirian.

Iklan

"Tiga mangsa mengalami kecederaan termasuk seorang kanak-kanak perempuan manakala seorang mangsa wanita meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut beliau, dalam operasi itu, pihak bomba juga berjaya mengeluarkan Siti Fairuz yang tersepit di tempat pemandu, namun dia disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Seramai sembilan anggota bomba terbabit dalam operasi menyelamat berkenaan.

"Mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Difahamkan, Siti Fairuz sebelum itu tidur di rumah anak saudaranya di Selising di sini dan dalam perjalanan pulang bersama anak dan adik ipar berkenaan manakala doktor berkenaan pula dikatakan menuju ke tempat kerja di Jeli.