KEMATIAN pasti akan dirasai oleh setiap makhluk yang bernyawa. Namun, misteri yang menyelubungi alam selepas seseorang meninggal dunia sering menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi dalam minda manusia.
Lihat sahaja beberapa kes pembunuhan yang tular di media sosial baru-baru ini telah mencetuskan perdebatan mengenai nasib roh si mati, terutamanya apabila jasad mangsa tidak ditemui serta-merta.
Adakah roh si mati masih berlegar-legar di dunia sehingga jasadnya disemadikan? Bolehkah roh berterima kasih dengan menghembuskan angin sejuk apabila kes jenayah berjaya dibongkar?
Persoalan-persoalan sebegini, walaupun mungkin timbul daripada rasa ingin tahu yang ikhlas, sebenarnya mencerminkan kekeliruan mendalam tentang konsep kematian dan alam roh dalam Islam.
Dalam ajaran Islam, apabila seseorang meninggal dunia, rohnya akan terus berpindah ke alam barzakh iaitu alam perantaraan antara dunia dan akhirat di mana roh akan berada sehingga hari kebangkitan.
Konsep itu disokong oleh hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang mana Rasulullah SAW memperincikan tentang keadaan roh selepas kematian.
Dalam nas itu, Baginda bersabda, roh orang Mukmin akan disambut oleh malaikat dan dibawa naik ke langit, manakala roh orang kafir akan mengalami nasib sebaliknya. Namun, kedua-dua jenis roh tetap ke alam barzakh untuk disoal oleh malaikat dan mengalami proses-proses berikutnya. Hadis itu dengan jelas menunjukkan bahawa roh tidak lagi berada di alam dunia selepas kematian.
Kepercayaan karut
Malah, ia boleh membawa kepada kepercayaan karut yang berbahaya. ‘Keyakinan’ sedemikian boleh menjerumuskan seseorang ke arah amalan syirik seperti meminta pertolongan atau berkomunikasi dengan roh si mati.
Dalam era digital kini yang mana maklumat tersebar dengan pantas, kita sering terdedah kepada pelbagai cerita dan dakwaan tentang pengalaman paranormal.
Baik cerita-cerita hantu, filem seram mahupun kisah-kisah misteri, boleh dikatakan semuanya sering menggambarkan roh si mati sebagai entiti yang masih berada di dunia. Walaupun mungkin menarik sebagai hiburan, kita perlu sedar bahawa gambaran sebegini bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh menyebabkan kekeliruan akidah jika diterima sebagai kebenaran.
Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk berhati-hati dalam membuat andaian tentang perkara ghaib termasuk keadaan roh manusia selepas kematian.
Ilmu terhad tentang roh
Dalam menangani persoalan-persoalan berkaitan alam ghaib, kita perlu kembali kepada sumber-sumber yang autentik dalam Islam iaitu al-Quran dan hadis. Namun, dalam memahami dan mentafsirkan sumber-sumber itu, kita juga perlu berhati-hati dan tidak bermudah-mudah dalam mengambil ilmu agama terutamanya berkaitan akidah. Bimbang jika ia datang daripada sumber yang tidak diketahui kredibilitinya.
Kesimpulannya, kita perlu memahami bahawa apabila seseorang meninggal dunia, rohnya terus berpindah ke alam barzakh. Tidak ada tempoh ‘menunggu’ atau ‘berlegar-legar’ di dunia. Kepercayaan tergelincir sebegitu boleh membawa kepada kekeliruan akidah dan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Mahu atau tidak, sebagai umat Islam, kita perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan pemahaman tentang agama termasuk perkara-perkara berkaitan kematian dan alam roh. Pada masa sama, kita perlu sedar akan batasan pengetahuan diri dan tidak membuat andaian melulu tentang perkara ghaib.
Akhir sekali, dalam menghadapi misteri kematian dan alam selepasnya, kita seharusnya lebih menumpukan perhatian kepada persiapan diri untuk menghadapi saat tersebut.
Dengan menjalani kehidupan yang bertakwa dan beramal soleh, kita dapat memastikan bahawa roh akan disambut dengan baik di alam barzakh, insya-ALLAH.
*Dr Mohd Khairulnazrin Mohd Nasir ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya