Tiada perbincangan kerjasama UMNO - Pas dalam PRU16 - Asyraf Wajdi

Iklan
Asyraf Wajdi (tengah) bercakap dalam sidang akhbar Mesyuarat Penyelarasan Barisan Nasional - Pakatan Harapan Bagi Pilihanraya Kecil DUN Nenggiri, Kelantan di Menara Dato’ Onn pada Isnin. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR - Tidak wujud sebarang perbincangan antara kepimpinan UMNO dan Pas bagi membentuk kerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, spekulasi wujud perbincangan mungkin berlaku dalam kalangan ahli atau penyokong dan bukannya kepimpinan kedua-dua parti.

Iklan
Iklan

"Saya (sebagai) Setiausaha Agung UMNO pun tidak tahu (ada perbincangan). Kalau nak berbincang, kena berbincang dengan kepimpinan. Perbincang dengan ahli, semua orang boleh berbincang.

"Macam saya dengar pemimpin Pas bincang dengan pimpinan PH (Pakatan Harapan) ada juga. Negara kita sentiasa mengamalkan demokrasi, boleh berbincang dengan semua orang," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Penyelarasan Barisan Nasional (BN) - PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Menara Dato’ Onn, pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendedahkan wujud beberapa siri pertemuan antara Pas bersama UMNO bagi membincangkan kerjasama berkenaan.

Iklan

Pertemuan itu dakwanya dibuat secara tidak formal membabitkan pemimpin utama kedua-dua parti, sekali gus dilihat mempunyai harapan dalam menyatukan kembali undi Melayu yang kini berpecah teruk.

Pada 8 Julai lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu tidak akan bekerjasama selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi Presiden Pas.

Rentetan itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membalas kenyataan tersebut dan yakin ia akan menjadi 'berita baik' kepada Perikatan Nasional (PN) selagi Ahmad Zahid menerajui UMNO.