WASHINGTON - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dan Bill Clinton memberi reaksi mereka terhadap pengumuman pengunduran Presiden Joe Biden daripada pilihan raya 2024.
Dalam kenyataannya pada Ahad, Obama memuji Biden sebagai antara presiden paling berpengaruh di Amerika dan seorang patriot yang terhormat.
"Presiden Biden memacu kita keluar dari empat tahun kekacauan, kepalsuan dan perpecahan yang telah mencirikan pentadbiran Donald Trump," katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sebarang sokongan secara langsung kepada Naib Presiden Kamala Harris menerusi kenyataannya.
Clinton pula berkata bahawa Biden menamatkan perkhidmatannya yang luar biasa dengan memimpin negara keluar dari pandemik yang belum pernah terjadi sebelum ini, mencipta jutaan peluang pekerjaan baharu, membangun semula ekonomi yang terjejas, memperkukuhkan demokrasi dan memulihkan kedudukan AS di dunia.
"Kami menyertai jutaan rakyat Amerika mengucapkan terima kasih kepada Presiden Biden atas semua yang telah dicapai dan kekal berdiri teguh untuk Amerika berulang kali...," kata Clinton bersama isterinya Hillary Clinton dalam satu kenyataan bersama.
Pasangan itu juga menyokong pencalonan Harris.
Biden pada Ahad mengumumkan menarik diri daripada Pilihan Raya Presiden AS dan menyokong Naib Presidennya Kamala Harris, sebagai calon Parti Demokrat.
"Adalah satu penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk berkhidmat sebagai Presiden anda.
"Walaupun saya berniat untuk bertanding semula, saya percaya ia adalah demi kepentingan parti dan negara untuk saya mengundurkan diri dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas sebagai Presiden bagi baki penggal saya,” kata Biden dalam satu kenyataan di platform X.
Biden menyatakan sokongan penuh kepada Harris untuk menggantikan beliau sebagai calon presiden dalam pilihan raya akan datang yang akan diadakan pada 5 November.
Sementara itu, calon Presiden Republikan, Donald Trump berkata, bahawa beliau akan"memperbaiki kerosakan" yang didakwa dilakukan oleh Biden.
"Joe Biden yang tidak jujur, tidak layak untuk bertanding sebagai Presiden, dan sudah tentu tidak layak untuk berkhidmat...Dan tidak pernah layak! Beliau hanya mendapat jawatan Presiden melalui pembohongan, berita palsu..." dakwa Trump di platformnya, Truth Social.
Trump mendakwa bahawa orang di sekeliling Biden termasuk doktor dan media tahu bahawa Biden tidak mampu menjadi presiden.
"Dan sekarang, lihatlah apa yang beliau telah lakukan kepada negara kita dengan jutaan orang melintasi sempadan tanpa pemeriksaan dan saringan, banyak dari penjara, institusi mental dan jumlah rekod pengganas.
"Kita akan menderita akibat kepimpinannya, tetapi kita akan memperbaiki kerosakan yang beliau lakukan dengan cepat. Jadiakan Amerika hebat semula!" katanya. - Bernama-Anadolu