ALOR GAJAH - Penolong Pegawai Tanah Pejabat Daerah Tanah Melaka Tengah maut dalam kemalangan di Kilometer 213.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini pada awal pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Mohd Firdaus Md Ramli, 38, yang menunggang motosikal Yamaha MT09 Tracer meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kaki dan perut.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian mangsa yang beralamat di Masjid Tanah dalam perjalanan dari arah utara menghala ke selatan lebuh raya.
Menurutnya, setiba di lokasi motosikal mangsa dipercayai telah terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti nombor kenderaannya.
"Akibat kemalangan itu mangsa terjatuh di atas permukaan jalan lalu badan mangsa telah digilis dengan kenderaan terbabit sehingga separuh anggota badan hancur.
"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian perut hingga ke bawah kaki disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.
Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.
"Kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk dibawa ke Puspakom bagi pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1887," katanya lagi.