Longgok sisa binaan, pemandu lori didenda RM10,000

Iklan
Gambar hiasan.

KUANTAN - Seorang pemandu lori didenda RM10,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Isnin atas tuduhan melonggokkan sisa pepejal pembinaan tanpa kebenaran di atas tanah di Jalan Tegak, Pekan.

Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, kesalahan dilakukan lelaki berusia 42 tahun itu dikesan hasil operasi dijalankan penguat kuasa SWCorp cawangan Pekan di lokasi itu pada 13 Oktober 2022.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lelaki terbabit didapati melonggokkan sisa pepejal terkawal sebagaimana yang dinyatakan di bawah tafsiran Seksyen 2 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

"Perbuatan itu satu kesalahan di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 71(8) akta yang sama.

Iklan

"Jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Sharudin berkata, dalam prosiding itu, pemandu lori terbabit mengaku salah dan didenda RM10,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Iklan