SKUAD terjun negara yang sedang menjalani latihan di China berada dalam keadaan selamat dan berwaspada dengan mengambil langkah pencegahan wabak koronavirus.
Penerjun negara yang sedang mengikuti latihan di sana ialah Leong Mun Yee, Pandelela Rinong, Wendy Ng Yan Yee, Kimberly Bong dan Enrique Harold di Sichuan Gymnasium, Chengdu, manakala Juara Dunia 2017, Cheong Jun Hoong menjalani latihan berasingan dengan bekas jurulatih kebangsaan, Yang Zhuliang di Qinhuangdao.
Skuad negara sedang menjalani latihan intensif untuk Piala Dunia dari 21 hingga 26 April di Tokyo, Jepun, sebelum mengharungi cabaran Sukan Olimpik 2020 di metropolis yang sama bermula dari 24 Julai hingga 9 Ogos.
Penerjun berpengalaman negara, Mun Yee berkata, sebagai langkah berjaga-jaga daripada virus berbahaya itu, pusat latihan itu ditutup dan orang luar tidak dibenarkan memasuki pusat itu.
"Kami yang berada di dalam tidak dibenarkan keluar. Setiap kali keluar dari bilik kena pakai topeng mulut dan hidung serta setiap hari kena periksa suhu badan sebagai langkah berjaga-jaga. Buat masa ini semuanya ok,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2019 itu berkata, kem negara di sana juga sentiasa berkomunikasi dengan pihak Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai perkembangan semasa.
Jarak di antara Wuhan, iaitu tempat virus itu berasal dengan Sichuan dan Qinhuangdao adalah lebih daripada 1,000 kilometer.
Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang mengesahkan hanya skuad terjun negara sedang menjalani latihan di China berkata, buat masa ini atlet berkenaan tidak akan dipanggil balik.
Bagaimanapun, pihaknya belum memutuskan sama ada untuk meneruskan latihan di China selepas mereka pulang ke tanah air antara 2 Februari hingga 14 Mac untuk memperbaharui visa mereka, yang mempunyai tarikh tamat berasingan.
"Sehingga kini kita masih meneruskan program latihan mereka apatah lagi ketika ini mereka menumpukan kepada memperkemaskan teknik-teknik terjunan masing-masing yang menekankan kepada keperluan latihan harness daratan dan kolam terjun.
"Kita akan menilai keadaan semasa sebelum membuat keputusan seterusnya selepas mereka kembali ke tanah air nanti. Pihak Kementerian Belia dan Sukan juga berkomunikasi dengan Kementerian Luar (Wisma Putra) bagi mendapatkan nasihat perjalanan sementara pihak kedutaan dan Konsul Jeneral Malaysia di China turut maklum tentang keberadaan mereka di China.
"Kesemua penerjun telah pun dimaklumkan tentang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Wisma Putra kepada rakyat Malaysia yang berada di China,” katanya.
Beliau berkata, Pandelela dan Mun Yee akan kembali ke tanah air untuk memperbaharui visa pada 2 Februari, diikuti Wendy, Kimberly dan Enrique pada 13 Februari manakala Jun Hoong pula akan balik pada 14 Mac.
Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah mengesahkan empat warganegara China yang memasuki Malaysia disahkan positif virus itu. - Bernama