PKR Sabah belum putus siapa rakan strategik hadapi PRN

Iklan
Mustapha (tengah) bersama Ketua-Ketua Cabang PKR di Sabah dalam sidang media di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah belum memutuskan siapa rakan strategik untuk parti itu bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud bagaimanapun mengakui kerjasama Pakatan Harapan (PH) Sabah dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika ini berjalan lancar bagi memastikan kerajaan negeri dalam keadaan stabil.

Iklan
Iklan

"Masih awal lagi. Saya sebagai pengerusi baharu, saya juga ada agenda kita seperti Himpunan Perdana Rakyat untuk memantapkan parti masing-masing.

"Akan tiba masanya kita akan mulakan proses perundingan secara rasmi nanti," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.

Iklan
Mustapha dalam sidang media di Kota Kinabalu.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar juga menegaskan beliau menolak polemik parti tempatan atau parti nasional di negeri ini.

Katanya, apa yang penting sekarang ialah dapat melahirkan pimpinan yang berkualiti.

Iklan

"Bagi kami, itu kriteria yang penting juga untuk kami nilai siapa rakan kerjasama kita. Kita tidak mahu salah pemimpin, partinya baik tetapi kalau pemimpin itu kalau tidak membawa kebaikan untuk rakyat kita akan fikirkan.

"Ini bukan mengenai parti lokal atau nasional atau Malaya, ini berkenaan pemimpin, ini yang kita perlu perjuangkan," katanya.

Sementara itu, Mustapha berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kerusi untuk ditandingi pada PRN yang dijangka berlangsung pada tahun hadapan.

"Tetapi sudah tentu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam dan Api-Api kita akan kekalkan dan kita akan pastikan bahawa memang akan ada tambahan," katanya.

Beliau dalam pada itu turut memberi bayangan akan bertanding dalam PRN tersebut namun enggan mendedahkan kerusi yang akan diwakilinya.

"Terima kasih, mungkin ramai mahu saya bertanding di kawasan DUN, saya akan pertimbangkan. Ada sudah (kawasan), kita akan umumkan nanti," katanya.