KUALA LUMPUR - Seorang buruh binaan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan di dalam sebuah lif, minggu lepas.
Hakim Mohd Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap G Mohana Das, 40, dan memerintahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 15 Julai lepas.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling selama setahun ketika dalam pemenjaraan serta pengawasan polis selama setahun selepas tamat tempoh hukuman penjara.
Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 16 tahun di dalam lif di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Cheras di sini pada 11.30 pagi, 15 Julai lepas.
Mengikut fakta kes, kejadian itu berlaku ketika mangsa menaiki lif untuk pulang ke rumahnya di tingkat 17 dan ketika itu tertuduh juga masuk ke dalam lif berkenaan.
Susulan itu, mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya yang kemudian membuat laporan polis pada hari yang sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan kejadian berlaku di sekitar rumah mangsa yang sepatutnya menjadi kawasan selamat bagi remaja itu.
Lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah berpisah dengan isteri dan perlu menanggung seorang anak serta emaknya. - Bernama