GRO sewa kereta bawa dadah RM8.7 juta

Iklan
Ribuan(dua dari kanan) menunjukkan bahagaian bungkusan guni berisi dadah yang ditemui di dalam MPV yang dipandu suspek

NILAI - Taktik seorang wanita menyewa kereta bagi membawa dadah seberat 273.7 kilogram dianggarkan bernilai RM8.7 juta terbongkar selepas ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Wanita berusia 35 tahun itu ditahan sedang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex di Bandar Puteri Puchong, Selangor jam 10.40 pagi, 5 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Ribuan Abdullah berkata, ketika ditahan, wanita terbabit sedang memandu seorang diri dan mendakwa bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menjumpai 13 guni yang di dalamnya terdapat 268 bungkusan berlabel teh herba Cina yang didapati mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat kasarnya 273.7 kilogram dan dianggarkan bernilai RM8.7 juta," katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, di sini pada Isnin.

Ribuan(dua dari kanan) menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas

Iklan

Menurutnya, siasatan mendapati, kenderaan tersebut disewa di sebuah negeri di utara dengan bayaran RM1,320 bagi tempoh dua hari.

Ujarnya, ketika ditahan wanita terbabit dalam perjalanan mengedar dadah tersebut di sekitar Lembah Klang, Selangor.

Iklan

"Hasil pemeriksaan mendapati, suspek tiada rekod jenayah lain dan kita tidak menolak kemungkinan ada suspek lain lagi yang akan ditahan.

"Siasatan awal mendapati sindiket terbabit telah terlibat dalam aktiviti mengedar dadah yang diperoleh dari negara jiran dan dibawa ke Lembah Klang melalui jalan darat dengan menyembunyikan dadah tersebut di dalam guni bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, dengan rampasan dadah terbabit, dianggarkan seramai 1.3 juta orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah.