TIGA pasukan berstatus 'World Team' bakal memeriahkan perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang dijadual berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober depan.
Pasukan tersebut ialah EF Education Easypost dari Amerika Syarikat, Astana Qazagstan (Kazakhstan) dan DSM Firminich PostNL (Belanda) sekali gus melengkapkan senarai 22 pasukan bakal menghangatkan edisi ke-28 perlumbaan itu.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub berkata, kejayaan memikat tiga pasukan yang menempa nama di Tour de France itu merupakan pencapaian membanggakan MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaku penganjur selepas hanya dua penyertaan pasukan 'World Team' pada tahun lalu.
"Pelumba EF Education Easypost, Richard Carapaz berjaya menguasai jersi kuning pendahulu keseluruhan selepas peringkat ketiga, memenangi Peringkat ke-17 dan merangkul kategori Raja Bukit Tour de France.
"Pelumba DSM Firmenich PostNL, Romain Bardet dan Frank van den Broek pula memenangi dua tempat teratas pada peringkat pertama Tour de France tahun ini.
"Pelumba berpengalaman Astana Qazaqstan, Mark Cavendish muncul pemenang perlumbaan peringkat kelima," katanya pada sidang media pengumuman pasukan bertanding di MSN, Bukit Jalil pada Isnin.
Abdul Rashid menambah, turut mengesahkan penyertaan ialah tujuh pasukan daripada kategori 'Pro Team' dalam senarai Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sekali gus membolehkan LTdL 2024 memenuhi syarat penganjuran perlumbaan berstatus Pro Series di luar Eropah.
"Lima pasukan Pro Team itu adalah Polti Kometa (Sepanyol), Tudor Pro Cycling (Switzerland), VF Group-Bardiani CSF- Faizane (Itali), Equipo Kern Pharma (Sepanyol) dan Euskaltel-Euskadi (Sepanyol) - kini berstatus 'Grand Tour Pro Team' dan dijemput bersaing dalam beberapa perlumbaan utama dunia seperti Giro de Italia dan Vuelta Espana 2024.
"Tiga pasukan negara juga akan menyertai perlumbaan itu termasuk Pasukan Kebangsaan Malaysia, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) dengan keseluruhan 12 pelumba negara berpeluang bersaing dengan pelumba handalan dunia," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL 2024, Emir Abdul Jalil menyatakan bahawa pendakian Bukit Fraser yang menggantikan Genting Highlands tidak dapat diadakan susulan arahan keselamtan UCI.
"UCI mengarahkan tiada laluan menuruni bukit yang curam ekoran insiden melibatkan kematian pelumba Coop Repsol di Tour Austria baru-baru ini. Jadi kita bermula dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong pada peringkat keempat.
"Mereka (UCI) menasihatkan kita untuk cuba mengelakkan insiden ini (menuruni bukit curam) kerana kemalangan yang bukan sahaja berlaku di Austria, tetapi di Perancis melibatkan kemalangan pelumba secara beramai-ramai," katanya.
Pelumba kelahiran Norway, Andre Drege, 25, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan menuruni bukit sehingga memaksa perlumbaan peringkat akhir Tour Austria terpaksa dibatalkan dan diganti dengan kayuhan yang didedikasikan buat mendiang.
SENARAI PASUKAN LTDL 2024
Pasukan dunia
1) EF Education Easypost (Amerika Syarikat)
2) Astana Qazagstan (Kazakhstan)
3) DSM Firminich PostNL (Belanda)
Pasukan profesional
1) VF Group Bardiani CSF Faizane (Itali)
2) Polti Kometa (Sepanyol)
3) Tudor Pro Cycling (Switzerland)
4) Equipo Kern Pharma (Sepanyol)
5) Euskaltel-Euskadi (Sepanyol)
6) Corratec Vini Fantini (Itali)
7) Burgos BH (Sepanyol)
Pasukan antara benua
1) Terengganu Cycling Team (Malaysia)
2) Malaysia Pro Cycling (Malaysia)
3) Hengxiang Cycling Team (China)
4) Nusantra Pro Cycling Team (Indonesia)
5) JCL Team Ukyo (Jepun)
6) Ara Skip Capital (Australia)
7) HKSI Pro Cycling Team (Hong Kong)
8) Aisan Racing Team (Jepun)
9) Li Ning Star Cycling Team (China)
Pasukan kebangsaan
1) Malaysia
2) Thailand
3) Filipina