Lelaki ganggu, tagih cinta wanita ditahan

Iklan
Gambar hiasan

BATU GAJAH - Seorang wanita hidup dalam ketakutan selepas diganggu seorang lelaki yang tidak berhenti menagih cinta sejak April lalu.

Wanita berusia 21 tahun itu mendakwa, lelaki berusia 27 tahun terbabit sering mengganggunya secara fizikal termasuk ketika di tempat kerja.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, dalam kejadian terbaru Jumaat lalu, suspek telah mengekori wanita terbabit dari kediamannya di Taman Bemban di sini ke tempat kerja dengan menaiki motosikal lengkap bertopi keledar jenis bertutup penuh.

Menurutnya, semasa berhenti di tepi jalan, mangsa bertanyakan kepada suspek dan apabila visor topi keledar dibuka, ternyata individu itu lelaki sama yang mengganggunya sebelum ini.

Iklan

"Suspek telah menyatakan cinta dan perasaan ingin memiliki wanita terbabit.

"Bagaimanapun mangsa menolak dengan memberitahu tidak berminat dan tiada perasaan kerana sudah bertunang.

Iklan

"Kejadian itu menyebabkan mangsa ketakutan kerana bukan gangguan kali pertama dilakukan suspek," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, bertindak atas laporan dibuat mangsa pada Jumaat, lelaki terbabit berjaya ditahan di tepi jalan Taman Gading di sini pada hari sama sekitar jam 11 malam.

Katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati, suspek yang masih bujang itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes pergaduhan dan penyalahgunaan dadah.

"Semakan mendapati, mangsa ada membuat laporan polis sebanyak dua kali sebelum ini bersabit kes dan individu yang sama.

"Suspek telah direman empat hari sejak Sabtu lalu bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan atas kesalahan menghendap," katanya.