Anwar mahu LHDN tingkat kecekapan, elak ketirisan cukai akibat rasuah

Iklan
Anwar hadir pada majlis Perasmian Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meningkatkan kecekapan dan menghapuskan amalan rasuah yang menyebabkan ketirisan hasil cukai negara.

Beliau berkata, LHDN perlu memastikan tiada aktiviti rasuah dalam kalangan warganya, dan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud unsur seperti itu.

Iklan
Iklan

Mengakui tugas mengutip cukai sangat mencabar di samping berhadapan risiko seperti ugutan daripada golongan tertentu, Perdana Menteri berkata, beliau akan terus memberi sokongan penuh kepada warga LHDN dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Orang-orang kaya ini kadang-kadang ikut cara lama, sebab itu saya kata rasuah ini menjadi sistemik, maknanya menular dan dia (orang-orang kaya) sudah biasa dengan cara itu. Cukai RM2 juta, selepas runding jadi RM500,000 - bocor sana sini.

Iklan

Anwar turut meluahkan harapan agar LHDN dapat melonjakkan kutipan cukai tahun ini melebihi unjuran.

"Saya mahu lihat setiap sen, ringgit yang perlu dibayar itu, dibayar tanpa kecuali, tetapi saya juga mahu melihat cukai ini tidak membebankan rakyat atau syarikat lebih daripada had yang ditetapkan," katanya.

Iklan

Perdana Menteri berkata LHDN memainkan peranan besar dalam memastikan kelangsungan pembangunan negara memandangkan asas percukaian negara adalah sangat kecil dan jika hasil yang dikutip juga rendah, ia boleh membawa masalah kepada negara.

Anwar turut mengimbas kembali pengalamannya melawat LHDN ketika masih berstatus jabatan satu ketika dahulu, apabila beliau diberi taklimat mengenai jabatan tersebut, yang antara lain memaklumkan mengenai 10 billionaire Malaysia yang sukar membayar cukai.

"Jadi saya sebut kepada media (ketika itu), mengingatkan semua 10 billionaire itu membayar cukai mengikut jadual, kalau tidak - Jabatan Hasil Dalam Negeri terpaksa mengambil tindakan.

"Itu bukan perkara yang mudah. Itu kenyataan seorang Menteri Kewangan ketika itu... yang tentu akan mengundang masalah dan tekanan, tetapi saya lakukan kerana saya fikir itu yang terbaik, kerana kalau menterinya lemah, jabatan tidak akan berani," katanya. - Bernama