Sektor perkhidmatan tingkatkan KDNK Kedah kepada RM51.8 bilion

Iklan
Sektor perkhidmatan tingkatkan KDNK Kedah kepada RM51.8 bilion pada tahun 2023.

ALOR SETAR - Pertumbuhan ekonomi Kedah meningkat kepada 1.6 peratus pada tahun lepas dengan nilai ditambah sebanyak RM51.8 bilion berbanding RM51.0 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia disumbangkan oleh pertumbuhan sektor perkhidmatan sebanyak 56.2 peratus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peningkatan dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah itu menyaksikan sektor perkhidmatan berkembang 4.0 peratus dengan merekodkan nilai ditambah RM29.1 bilion berbanding RM28.0 bilion pada tahun 2022.

"Pertumbuhan positif sektor ini didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan termasuk utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta ICT yang masing-masing meningkat 5.3 peratus dan 5.0 peratus,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Isnin.

Iklan
Sumbangan dan pertumbuhan mengikut sektor bagi tahun 2023.

Mohd Uzir berkata, sektor pembuatan dan pertanian masing-masing menyumbang sebanyak 29.2 peratus dan 10.7 peratus.

"Sektor pembuatan merosot 3.2 peratus berbanding tahun 2022 sebanyak 8.1 peratus, mencatatkan nilai ditambah RM15.1 bilion pada tahun 2023.

Iklan

"Kemerosotan sektor ini dipengaruhi oleh produk elektrik, elektronik dan optikal yang menyusut 4.6 peratus, selain produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang menurun 3.1 peratus,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sementara sektor pertanian menguncup 2.8 peratus, dengan nilai ditambah RM5.5 bilion yang dipengaruhi oleh penurunan dalam subsektor perikanan serta tanaman getah dan padi.

"Namun pertumbuhan positif subsektor ternakan telah mengimbangi penyusutan sektor berkenaan,” jelasnya.

Mohd Uzir memaklumkan, sektor pembinaan pula mencatatkan sumbangan sebanyak 3.0 peratus, diikuti sektor perlombongan dan pengkuarian yang menyumbang 0.2 peratus.

"Sektor pembinaan melonjak 30.8 peratus pada tahun lepas (2022 sebanyak 18.3 peratus) dengan nilai ditambah RM1.6 bilion (2022: RM1.2 bilion).

"Prestasi memberangsangkan ini didorong oleh subsektor aktiviti pertukangan khas dan pembinaan bangunan, masing-masing meningkat 43.7 peratus dan 23.6 peratus,” katanya.

Menurutnya, dari aspek KDNK per kapita, Kedah mencatatkan RM26,353, iaitu peningkatan sebanyak RM274 daripada RM26,079 pada tahun sebelumnya.