Pesara tentera amang seksual anak rakan, dijel empat tahun dan satu sebatan

Iklan
Tindakan seorang pesara tentera melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan rakannya yang berusia 12 tahun, pada Ramadan lalu mengundang padah. Foto hiasan

IPOH – Tindakan seorang pesara tentera melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan rakannya yang berusia 12 tahun, pada Ramadan lalu mengundang padah, apabila Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan.

Hakim, Hilmiah Yusof memutuskan demikian selepas lelaki berusia 42 tahun itu mengaku bersalah atas tiga pertuduhan.

Iklan
Iklan

Mengikut semua pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun lima bulan, di ruang tamu sebuah rumah di Kinta, di sini, pada jam 3 pagi, 28 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a), (b) dan (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman masing-masing penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah menjatuhi hukuman, masing-masing penjara selama empat tahun bermula tarikh tangkap (29 Mac lalu) sementara penjara empat tahun dan satu sebatan bagi kes ketiga.

Bagaimanapun, Hilmiah membenarkan hukuman penjara berjalan serentak menjadikan tertuduh dikenakan hukuman jel empat tahun dan satu sebatan.

Iklan

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, mangsa yang sedang tidur di ruang tamu, tersedar dan mendapati tertuduh berada di sebelahnya.

Lelaki itu bertindak menarik tangan mangsa dan melakukan semua kesalahan sebagai mana pertuduhan.

Setelah tertuduh beredar, mangsa menghubungi ibu saudaranya dan menceritakan kejadian tersebut.

Hakim berkata, hukuman dibuat adalah berdasarkan penilaian menyeluruh berdasarkan pengakuan tertuduh pada awal pendakwaan, usianya, jenis kesalahan, kepentingan awam dan rekod lampau.

Menurutnya, berdasarkan rayuan lelaki itu, pembelaan menyatakan, hukuman penjara yang panjang akan kesan kepada tiga anak tertuduh yang masih bersekolah dan perlu menjaga dan ibunya yang uzur.

Katanya, mahkamah juga mengambil kira sumbangannya kepada negara selepas berkhidmat selama 15 tahun.

"Dia juga mengaku, kesalahan yang dilakukan merupakan perbuatan yang keji dan salah, bukan sahaja dari segi undang-undang malah agama,” katanya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu, agar tertuduh dikenakan hukuman penjara, berjalan secara berasingan.