Koronavirus: China haram jual daging hidupan liar

Iklan
Penjualan daging haiwan eksotik dibuat secara terbuka di Wuhan. -Foto Simon Song.

BEIJING – Kerajaan China telah mengharamkan penjualan daging hidupan liar dalam usaha mengekang wabak koronavirus daripada tersebar.

Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan pihak berkuasa kesihatan, dipercayai virus tersebut mula muncul melalui binatang eksotik yang dijual di pasar makanan laut, bandar Wuhan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan laporan sumber melalui Xinhua, virus baharu itu kini mula tersebar yang telah meragut 80 nyawa di China dan 2,500 kes telah dilaporkan di seluruh dunia.

"Sebarang bentuk perdagangan hidupan liar akan dilarang sepenuhnya pada semua platform termasuk di pasar, tempat makan dan juga platform e-dagang.

Iklan

"Sekatan penjualan itu berkuat kuasa semalam dan akan berterusan sehingga berakhirnya virus tersebut daripada menjangkiti manusia," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan mengarahkan semua tapak yang menjual haiwan liar untuk dikuarantin di samping melarang pengangkutan penjual agar peniaga berdegil tidak dapat menjual haiwan liar demi keuntungan diri sendiri.

Iklan

"Mana-mana premis peniagaan yang melanggar larangan itu akan ditutup dan jika serius, kita akan serahkan kepada pihak polis kerana ia satu perbuatan jenayah

"Kerajaan tempatan harus meningkatkan pengawasan untuk mencegah pelanggaran larangan itu dan orang awam harus menyedari risiko kesihatan memakan haiwan liar," katanya.

Kebanyakan bandar di China kini mewajibkan kesemua penduduk mereka memakai topeng muka di tempat awam sebagai langkah mencegah penularan koronavirus tersebut. - Foto AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tidak lagi terima pelancong Wuhan

Perdana Menteri China, Li Keqiang membuat lawatan pertama ke Wuhan hari ini yang menjadi pusat penyebaran koronavirus yang kini merebak di seluruh China dan empat benua.

Majlis Negara China menerusi kenyataan di akaun media sosial mereka memaklumkan kunjungan Keqiang itu bertujuan menyiasat dan memberi garis panduan terhadap usaha berterusan untuk membendung penularan virus seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) tersebut.

Pihak berkuasa memaklumkan kira-kira 24 kematian dilaporkan, sekali gus menjadikan angka korban wabak membawa maut itu kini mencecah sekurang-kurangnya 80 orang manakala 371 lagi kes jangkitan baharu direkodkan.

Angka terbaharu dikeluarkan itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kini mencecah lebih 2,300 kes.

Sementara itu, rangkaian berita kewangan Caixin melaporkan, Pengarah Biro Agama dan Etnik Wuhan, Wang Xianling menjadi pegawai pertama kerajaan yang meninggal dunia semalam akibat jangkitan koronavirus terbabit.

Terdahulu, Kabinet China mengumumkan ia akan melanjutkan tempoh cuti sempena Tahun Baru Cina sehingga 2 Februari depan untuk memperkukuhkan lagi langkah pencegahan dan kawalan terhadap koronavirus tersebut.

Stesen TV, CCTV melaporkan Kementerian Pendidikan juga akan mengumumkan langkah sama untuk pelanjutan cuti sekolah.

Dalam perkembangan lain, Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong di Shanghai akan menggantung perkhidmatan bas antara bandar jarak jauh bermula esok sebagai langkah untuk mengekang penularan wabak itu. - Agensi