KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperkenalkan sistem kebenaran pungutan khairat atau khairat2u bagi melancarkan proses permohonan serta menyekat penyelewengan kutipan derma.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, produk inovasi tersebut membolehkan setiap proses permohonan pungutan khairat melalui sistem secara dalam talian dengan lebih selamat.
Menurutnya, khairat2u meliputi semakan permohonan, kelulusan, kad kebenaran digital, laporan pungutan derma yang boleh diakses oleh pihak MAIDAM dan penguatkuasa serta semakan maklumat informasi orang awam menerusi kod QR.
"Ia sekali gus dapat menyekat aktiviti penyelewengan dan pecah amanah kutipan derma," katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Isnin.
Ahmad Azrin berkata, apabila seseorang mengimbas kod QR sesuatu tabung derma yang diluluskan oleh MAIDAM, ia akan memaparkan maklumat pemohon, nama pemungut, tujuan pungutan khairat, tarikh mula dan tarikh tamat pungutan khairat.
"Penggunaan khairat2u ini juga telah berjaya mengurangkan jumlah kakitangan MAIDAM yang terlibat dalam urusan ini selain menjimatkan tempoh proses kelulusan daripada 30 hari bekerja kepada satu hari bekerja," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Azrin pandangan isu penyelewengan dan pecah amanah kutipan derma berlaku kerana tiada pihak bertindak sebagai pengawal selia tidak benar.
"Terdapat beberapa peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepada Majlis Agama Islam Negeri mengawasi aktiviti sebegini.
"Di Terengganu misalnya, Seksyen 90 (1) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001 menyatakan pihak Majlis boleh memungut atau, dengan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Majlis, membenarkan mana-mana orang atau kumpulan orang, dengan apa-apa terma yang difikirkan patut oleh Majlis, memungut wang atau sumbangan-sumbangan lain untuk apa-apa maksud khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak.
"Seksyen 90(4) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001 pula menyatakan tiada seorang pun boleh membuat atau mengambil bahagian dalam apa-apa pungutan wang bagi apa-apa maksud seperti yang disebut dalam subseksyen (1) kecuali dengan kebenaran nyata daripada Majlis atau menurut kuasa surat kebenaran di bawah subseksyen (1)," katanya.
Bagaimanapun, jelas beliau, walaupun wujud peruntukan undang-undang tersebut segelintir masyarakat lebih cenderung menderma kepada tabung yang dikaitkan dengan individu atau pertubuhan yang 'trending' di media sosial.
Katanya, Malaysia juga berada di tempat kedua bagi negara yang paling banyak menggunakan platform media sosial di dunia sebagaimana dapatan kajian oleh Proxyrack.
"Masyarakat juga kurang menitikberatkan sama ada tabung derma itu beroperasi secara sah mengikut undang-undang atau sebaliknya menyebabkan modus operandi kutipan dana sebegini lebih banyak tarikan.
"Tabung derma yang sah pula kadangkala berdepan dengan masalah seperti kelemahan dalam pengurusan permohonan, pelaporan dan kawalan tadbir urus pungutan derma," ujarnya.